Kerajaan Pulau Pinang tak pernah abai nasib penduduk Kampung Bagan Jermal - ADUN

Iklan
Joshua ketika membuat tinjauan di Kampung Bagan Jermal sebelum ini.

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah mengabaikan suara penduduk Kampung Bagan Jermal di sini yang terkesan dengan projek pembangunan di Gurney Bay dan sentiasa mendengar aduan, rintihan serta mencari jalan penyelesaian sebaik mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng berkata, dakwaan tiada wakil rakyat menghubungi penduduk Kampung Bagan Jermal bagi membantu menyelesaikan isu banjir kilat dan keretakan rumah yang dihadapi mereka, tidak tepat sama sekali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai ADUN, beliau dan pegawainya kerap melawat kawasan kampung, mengadakan sesi libat urus, mesyuarat teknikal, dan gotong-royong bersama penduduk serta agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu keretakan rumah dan kebimbangan banjir.

"Kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan suara penduduk malah beberapa kali perbincangan serta libat urus telah dijalankan bersama sebelum ini.

Iklan

"Malah pada 18 November lalu saya telah bangkitkan Isu Kampung Bagan Jermal dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada 26 November lalu saya mengumumkan peruntukan RM100,000 daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi naik taraf sungai di kawasan tersebut, yang akan dilaksanakan pada tahun 2026," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Joshua (tiga dari kiri) bertemu penduduk Kampung Bagan Jermal.

Iklan

Joshua berkata, pihaknya juga memastikan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) menjalankan kajian hidrologi secara menyeluruh untuk mengurangkan risiko banjir jangka panjang dan kajian terperinci sedang dijalankan untuk menentukan punca keretakan rumah.

Beliau berkata, sekiranya kajian membuktikan keretakan berpunca daripada projek Water Body A, pihaknya akan memastikan ganti rugi yang setimpal akan diberikan kepada penduduk terjejas.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan Lebih 50 penduduk Kampung Bagan Jermal mengadakan bantahan aman bagi mendesak pemaju dan kerajaan negeri mengambil tindakan segera berhubung kesan Projek Gurney Bay yang didakwa menjejaskan keselamatan serta kehidupan mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung, Mohamad Yakop Mohamad Dali, 73 berkata, projek yang bermula pada Februari tahun lalu mengakibatkan berlaku gegaran kuat daripada kerja-kerja penanaman cerucuk serta tambakan laut sehingga menyebabkan banyak rumah dan premis sekitar mengalami retakan.

Menurutnya, penduduk sudah beberapa kali membuat aduan serta mengadakan perjumpaan dengan pemaju dan wakil rakyat kawasan sejak Julai, namun sehingga kini tiada penyelesaian konkrit diambil.