Projek fitlot Kedah: Ahli perniagaan didakwa minta, terima rasuah RM400,000

Iklan
Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan RM400,000 berhubung projek penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah, lima tahun lalu.

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan RM400,000 berhubung projek penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah, lima tahun lalu.

Amar Assuat Abu Bakar, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin.

Iklan
Iklan

Mengikut semua pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan tersebut, daripada seorang ahli perniagaan berusia 39 tahun, sebagai dorongan untuk membantunya mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot di Ladang Fidlot Kedah Agro, Mukim Sungai Laka, daerah Kubang Pasu, Kedah daripada Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah restoran dan tepi jalan berhadapan sebuah syarikat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, di sini pada 20 dan 23 Jun 2020.

Iklan

Dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin.

"Termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri.

Bagaimanapun, peguam, R Yoganathan yang mewakili tertuduh berkata, jumlah jaminan yang dicadangkan pihak pendakwaan bersifat keterlaluan.

"Kadar itu terlalu tinggi, seakan-akan bersifat menghukum, sedangkan anak guam belum disabitkan keslaahan malah tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM75,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 13 Januari 2026.