'Pilih hanya petarung sebenar atas gelanggang' - Noor Azam

Iklan

SETIAUSAHA Agung Kelab Muay Thai Pahlawan Malaysia, Dr Noor Azam Samsudin menegaskan bahawa pihaknya memberi keutamaan kepada kualiti pertandingan, dan memastikan hanya atlet yang benar-benar layak dibenarkan menyertai selepas melepasi tapisan yang ditetapkan.

Menurut Noor Azam, beliau tidak mahu menjadikan gelanggang seni bela diri sebagai tempat menjana keuntungan semata-mata dengan menampilkan individu yang tiada latar belakang profesional dalam sukan tersebut, kerana ia boleh memberikan kesan buruk pada masa hadapan.

Iklan
Iklan

Justeru, Wilayah Pahlawan Kejuaraan Antarabangsa Muay Thai 2.0 (WPIMC 2.0) menampilkan atlet profesional yang sering bertanding, dan bukan sekadar menarik penonton.

“Kita tidak mahu memberi ruang kepada mereka yang bukan fighter sebenar. Sebab itu untuk WPIMC ini, kita hanya menjemput petarung tulen yang kerap menyertai pertandingan. Kita juga menolak penglibatan selebriti dalam acara ini. Namun, di luar, kita tetap berkawan dengan semua,” katanya.

Iklan

Bagi memastikan acara ini terus mendapat sambutan, edisi kali kedua WPIMC kali ini menampilkan kelainan dengan menyelitkan elemen hiburan, penggunaan paparan LED, serta sokongan penuh daripada Tourism Malaysia untuk menarik minat penonton tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Noor Azam turut menegaskan bahawa kejohanan seumpama ini bukan bertujuan menggalakkan budaya membuli. Malah, pihaknya turut melaksanakan kempen anti-buli bagi mencegah gejala tersebut, khususnya di sekolah.

Iklan

WPIMC 2.0 bukan sahaja menampilkan atlet baharu yang sedang meningkat naik, malah disertai pemenang pingat emas Sukan SEA, bekas peserta ONE Championship, serta juara kejohanan bertaraf antarabangsa.