Impian bawa produk ke peringkat antarabangsa
Iklan
Norafizaa bersama produk keluarannya yang sentiasa laris setiap kali menyertai acara jualan di dalam dan luar Pahang.
BERBEKALKAN semangat kental dan keyakinan diri, usahawan wanita dari Kampung Kubang Panjang, Mengkarak, Bera ini terus mengorak langkah memajukan perniagaannya walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran sejak memulakan perniagaan produk makanan kering lebih dua tahun lalu.
Norafizaa Yusop, 38, kini mampu menarik nafas lega apabila tiga produk utamanya iaitu sambal kentang Pahang, sambal garing paru dan sambal garing bilis pelbagai perisa di bawah jenama Hajah Nor Kitchen (HNK) mendapat sambutan menggalakkan.
Iklan
Iklan
Ibu kepada tiga anak termasuk pasangan kembar ini mengakui syarikatnya, Fyrich Empire Enterprise kini mampu menjual 2,000 hingga 3,000 pek sambal kering itu setiap bulan dengan pendapatan mencecah lima angka.
Katanya, ada ketika terutama pada musim perayaan produknya mampu dijual sehingga 5,000 pek sebulan.
Iklan
Menceritakan kembali perjalanan perniagaannya itu, Norafizaa mengakui ia tidak mudah, sebaliknya penuh dengan liku-liku sehingga nyaris mematahkan semangat untuk meneruskannya selepas pernah jatuh terduduk sebelum ini.
“Perjalanan perniagaan ini bermula selepas saya berhenti kerja pada 2019 untuk pulang menjaga ibu sebelum berdepan kesukaran kewangan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19 tahun 2020.
Iklan
“Simpanan habis, masa itu saya terfikir untuk berniaga demi mencari pendapatan. Selepas berbincang dengan keluarga saya ambil keputusan untuk cuba hasilkan sambal kering,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Norafizaa, dengan modal RM800 daripada suami, Mohd Haikal Arshad, 37, dia cuba menghasilkan sambal kering istimewa hasil air tangan ibu, Noriah Abdul Jabar, 63.
Katanya, pada Ogos 2022 dia memulakan perniagaan itu bermula dengan menghasilkan produk sambal kentang Pahang.
“Selepas tiga bulan, sambal kami mula mendapat permintaan sehingga pengeluaran terpaksa ditingkatkan kepada 2,000 hingga 3,000 pek sebulan bagi menampung permintaan,” ujarnya.
Jelas usahawan wanita cekal ini, pemasaran produknya ketika itu bergantung sepenuhnya pada ejen dari seluruh negara.
“Cerita gembira itu tidak lama. Tahun 2023 membawa dugaan besar apabila jualan jatuh merudum kerana kebanyakan ejen tidak lagi mengambil stok.
“Waktu itu saya belum jual secara dalam talian atau memasarkannya sendiri menyebabkan pasaran produk saya sangat terhad,” katanya.
Tidak mahu menyerah, Norafizaa bangkit semula dengan belajar selok-belok perniagaan bagi memantapkan diri untuk terus berdepan cabaran dunia perniagaan.
Norafizaa menunjukkan antara produk keluarannya yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Risda Groom Big Challenge 2024
“Pada 2024, saya menyertai Program Risda Groom Big Challenge 2024 dan syukur mendapat tempat ketiga. Segala input yang saya peroleh melalui program itu dipraktik termasuk aspek pemasaran, kualiti produk, pengurusan kewangan dan strategi operasi.
“Alhamdulillah, perniagaan kembali stabil dan permintaan semakin baik hingga mampu bertahan ke hari ini,” ujarnya.
Memasuki tahun 2025, Norafizaa lebih agresif memasarkan produk dengan menyertai pelbagai event dalam dan luar Pahang, selain menguasai pemasaran digital melalui pelbagai platform dalam talian.
Selain keenakan dan kualiti produk, Norafizaa yang kini dibantu lima pekerja turut menekankan kepada aspek pembungkusan menarik sebagai faktor penting saingan di pasaran.
“Pembungkusan bukan sekadar cantik, tetapi mencerminkan identiti jenama dan membantu menambah keyakinan pelanggan,” katanya yang turut menerima bantuan dari Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Hasil bimbingan berterusan daripada pelbagai agensi, Norafizaa merancang mengembangkan perniagaan dengan membesarkan bengkel sedia ada, menambah pekerja serta melengkapkan operasi dengan mesin retort.
“Kalau ada rezeki, saya mahu produk ini masuk ke pasar raya selain membuka peluang untuk ke pasaran antarabangsa. Hasrat terbesar saya adalah menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS),” katanya.
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762391/bisnes/daripada-dapur-rumah-ke-kilang-sendiri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.