JPJ buat laporan polis lelaki keluar kata kesat, hina anggota

Iklan
Kenderaan dinaiki lelaki yang ditahan JPJ dalam sekatan jalan raya diadakan pada Sabtu - Foto: JPJ Negeri Sembilan

SEREMBAN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggotanya semasa sekatan jalan raya di Kilometer 20, Lebuhraya Seremban–Port Dickson menghala ke Seremban, pada Sabtu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.37 petang itu, sebuah kenderaan jenis Perodua Alza 1.5 berwarna hitam yang dipandu seorang wanita telah ditahan bagi tujuan pemeriksaan.

Iklan
Iklan

“Semasa semakan dijalankan, kenderaan terbabit telah diberikan Notis Arah Periksa di bawah Seksyen 61(1) kerana nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Namun, ketika notis saman diserahkan kepada pemandu, suami wanita tersebut yang berada di tempat duduk penumpang telah bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta menghina anggota JPJ yang bertugas sebelum beredar dari lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tegasnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang tingkah laku agresif, provokasi, ancaman atau penghinaan terhadap anggota penguat kuasa.

Jelas beliau, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah boleh mengganggu kelancaran operasi serta menjejaskan keselamatan pegawai yang bertugas.

Iklan

“Anggota terlibat telah membuat satu laporan polis bagi tujuan keselamatan dan tindakan lanjut akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“JPJ Negeri Sembilan ingin mengingatkan orang awam bahawa semua operasi penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP), dan setiap individu diminta memberikan kerjasama sewajarnya semasa pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Hanif Yusabra menegaskan bahawa JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana perbuatan yang menghalang, mengugut atau menghina penjawat awam yang sedang menjalankan tugas rasmi.