TaniStats 2.0 integrasi pelbagai data pertanian lebih tepat

Iklan
Platform itu dilengkapi AgroBot bagi memudahkan navigasi portal dan analisis awal secara efisien.

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melancarkan gerbang digital statistik pertanian bersepadu TaniStats 2.0 diperbaharui daripada versi awal diperkenalkan pada Mei 2025.

Menurut Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia, platform itu dibangunkan secara dalaman bagi mengintegrasikan pelbagai sumber data pertanian.

Iklan
Iklan

Ia termasuk dapatan Banci Pertanian 2024, data pentadbiran pelbagai agensi, harga agromakanan, indikator keterjaminan makanan dan maklumat rantaian bekalan di bawah satu ekosistem digital.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, jabatan tersebut memaklumkan bahawa pembangunan platform berkenaan menyokong teras ketiga gagasan Malaysia Madani iaitu daya cipta yang menekankan inovasi, pembaharuan dan pengupayaan modal insan.

Iklan

“Matlamatnya ialah menggalakkan penggunaan data dalam membuat keputusan berasaskan bukti bagi kemajuan sektor pertanian.

“TaniStats 2.0 turut menyokong agenda Reformasi Sektor Awam, termasuk pendigitalan perkhidmatan kerajaan, integrasi data antara agensi serta tadbir urus data moden,” katanya.

Iklan

Platform itu membolehkan data pertanian diakses hampir masa nyata, sekali gus membantu kerajaan dan pihak berkepentingan membuat penilaian dasar serta tindakan lebih tepat.

“Ia menghimpunkan data huluan dan hiliran termasuk rantaian nilai produk pertanian dari ladang ke pengguna bagi pelbagai komoditi terpilih.

“Statistik keterjaminan makanan pula merangkumi bekalan, penggunaan dan keseimbangan makanan yang memberikan gambaran menyeluruh untuk tindakan yang lebih berkesan,” jelas kenyataan itu.

TaniStats 2.0 turut mengintegrasikan teknologi analitik pintar, visualisasi geospatial serta modul pemantauan harga produk pertanian melalui MyAgroPrice, membolehkan pengguna meninjau harga di peringkat ladang, borong dan runcit mengikut negeri dan daerah.

“Ini memudahkan penilaian dasar harga serta pemantauan pasaran secara menyeluruh.

“Penambahbaikan lain termasuk modul CitraTani (Analitik Pertanian) bagi meneliti trend pengeluaran dan produktiviti, TableFlex bagi paparan data fleksibel, CaknaTani yang menyediakan laporan Banci Pertanian 2024 serta nota teknikal,” jelasnya.

Platform tersebut juga dilengkapi AgroBot, pembantu pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) generatif bagi memudahkan navigasi portal dan analisis awal secara efisien.

“DOSM komited memperkasakan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan untuk meningkatkan ketepatan, kebolehpercayaan serta aksesibiliti data strategik negara.

“TaniStats 2.0 boleh diakses melalui portal TaniStats.dosm.gov.my,” katanya.

Tambah kenyataan itu, Malaysia turut mencatat pencapaian global apabila menduduki tangga pertama dalam laporan dwitahunan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 197 negara lain berbanding kedudukan ke-67 dalam penilaian ODIN 2022/23.

Pelancaran TaniStats 2.0 disempurnakan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sempena Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025.