[VIDEO] Nahas SUV jatuh gaung: Pasukan penunda angkat beban lebih 2 tan dari kedalaman 61 meter

Iklan

HULU TERENGGANU – Operasi membawa naik sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terjunam ke dalam gaung sedalam 61 meter di Kilometer 52, Jalan Kuala Jeneris–Sungai Gawi–Aring (Bukit Kawah) merupakan antara tugasan paling mencabar pernah dilakukan oleh sebuah syarikat penunda kenderaan di daerah ini.

Pengusahanya, Mohd Izani Mohd Rahim, 46, berkata, operasi bermula kira-kira jam 2 petang pada Sabtu dalam keadaan hujan lebat yang menyebabkan struktur tanah di lokasi kejadian menjadi semakin longgar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses menarik keluar kenderaan itu juga berdepan risiko tinggi apabila berlaku beberapa kali runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

"Selain cabaran cuaca, tanah di kawasan itu sangat lembut dan mudah runtuh. Keadaan yang terlalu curam ditambah dengan bongkah batu besar menyukarkan pergerakan kami.

Iklan

“Kami menggunakan dua kren penunda dengan sokongan kabel khas untuk menarik kenderaan yang dianggarkan seberat dua tan.

"Apabila tanah melekat dan dipenuhi lumpur, beban keseluruhan yang perlu dinaikkan boleh mencecah lebih dua tan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Ahad.

Iklan

Operasi menaikkan SUV terjunam gaung selesai kira-kira jam 6.30 petang pada Sabtu. Foto: Mim Autoparts - Gambar kecil (Mohd Izani)

Beliau berkata, seramai enam petugas terlibat dalam operasi itu, termasuk tiga yang terpaksa turun ke dasar gaung bagi memasang kabel pada SUV berkenaan.

"Sebelum operasi dimulakan, kami telah melakukan solat hajat memohon agar usaha membawa naik SUV itu berjalan lancar.

"Ketika menarik keluar kenderaan tersebut, kami berdepan situasi cemas apabila tanah beberapa kali bergelongsor dan runtuh. Mujurlah kami berjaya bertahan dan dapat membawa naik kenderaan kira-kira jam 6.30 petang," ujarnya.

Mengulas mengenai kos operasi, Izani berkata, ia melibatkan kira-kira RM4,000 dan ditanggung oleh ahli keluarga mangsa.

Proses menaikkan SUV berdepan kesukaran apabila cuaca hujan lebat dan terdapat beberapa runtuhan tanah berlaku ketika operasi tersebut. - Foto: Mim Autoparts

Katanya, SUV tersebut kemudiannya dibawa menggunakan trak tunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.

Izani, yang berpengalaman lebih 16 tahun dalam kerja-kerja penundaan, berkata lokasi kemalangan itu sememangnya dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.

"Jalan di situ banyak yang rosak dan permukaannya tidak rata. Walaupun ada penghadang batu dipasang, tidak semua bahagian dilindungi.

"Mungkin pemandu tidak menyedari bahawa jalan itu terputus dan tidak sesuai dilalui semua jenis kenderaan," katanya.

Solat hajat dilakukan sebelum operasi menaikkan SUV terjatuh gaung dalam kejadian di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris – Sungai Gawi – Aring (Bukit Kawah), Hulu Terengganu. Foto: Mim Autoparts

Beliau turut memaklumkan bahawa kawasan Bukit Kawah pernah mencatatkan kejadian kemalangan maut beberapa tahun lalu, termasuk melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang meragut tiga nyawa.

"Kawasan ini memang kerap merekodkan kemalangan disebabkan faktor jalan yang tidak selamat, bukannya kerana haiwan liar atau faktor lain," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan sebuah SUV jenis Toyota Fortuner yang dinaiki seorang guru, Hassan Shazali, 52, dan Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang.

Dua kren penunda digunakan untuk membawa naik SUV berkenaan. Foto: Mim Autoparts

Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Jenazah Hassan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh pada jam 9.10 malam, manakala jenazah Suzaimah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lebir, Gua Musang pada jam 9.26 malam, Sabtu.