Akauantan cedera, bergelut ketika diragut dua lelaki bermotosikal

Iklan
Tular video memaparkan seorang wanita menjadi mangsa ragut di Taman Setia Indah, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang wanita cedera ringan selepas diragut dua lelaki bermotosikal dalam kejadian di Jalan Setia 3/2, Taman Setia Indah, di sini pada Jumaat yang video kejadiannya tular di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa berusia 51 tahun yang bekerja sebagai akauntan sedang berjalan kaki menuju ke sebuah kedai makan sebelum didatangi dua suspek lelaki yang menaiki sebuah motosikal.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek cuba menarik beg silang mangsa namun gagal sebelum berlaku pergelutan sehingga telefon bimbit mangsa terjatuh.

“Salah seorang suspek mengambil telefon bimbit tersebut dan melarikan diri bersama rakannya.

Iklan

"Mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian lutut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Raub berkata, kerugian dialami mangsa membabitkan sebuah telefon bimbit iPhone 13 Pro Max bernilai kira-kira RM1,200.

Iklan

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memakai topi keledar bertutup muka dan nombor pendaftaran motosikal tidak dapat dikenal pasti.

"Kawasan kejadian juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), namun polis memperoleh rakaman dashcam orang awam yang merakam insiden berkenaan," katanya.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Saksi atau individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Orang ramai agar lebih berhati-hati, terutama ketika berjalan sendirian atau di kawasan sunyi, selain memastikan barangan berharga disimpan dengan selamat bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah jalanan," katanya.