'Semua manifesto PRN Sabah mula dilaksana bulan ini, tidak mungkir janji' - PM

Iklan
Anwar (tengah) beramah mesra bersama pengunjung ketika melawat ke reruai pameran selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku Tahun 2025 di Dataran Putrajaya pada Ahad. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua janji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 terutama naik taraf infrastruktur akan dilaksanakan bermula bulan ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, mesyuarat penyelarasan untuk memantau pelaksanaan projek utama akan diadakan setiap bulan bermula Disember ini.

Iklan
Iklan

“Kita tetapkan supaya Disember ini juga ada mesyuarat penyelarasan memantau pelaksana. Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap projek itu. Mesyuarat setiap bulan di peringkat Persekutuan dan negeri. Langkah ini menjadi contoh terbaik yang boleh kita lakukan untuk melaksanakan kata-kata kita.

“Ini berbeza... orang politik dan pimpinan berjanji sebelum ini... sebelum pilihan raya... dan meninggalkan janji itu. Kita janji dalam tempoh seminggu kita turun, menetapkan kaedah pelaksanaan, kerana di sana masih terbelenggu masalah api, air dan jalan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini pada Ahad.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Iklan

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memberi jaminan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang mencecah belasan bilion ringgit antara Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan teratur dan mengikut jadual.

“Pan Borneo di mana RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak itu akan diteruskan dengan lebih teratur dan berkesan.

“Tahniah... sudah beres dengan jayanya di Sarawak dan kita setuju untuk berikan laluan red line tambahan ke Sarawak dan ke Sabah.

“Nampak pertama kali sejak projek itu diluluskan 10 tahun lalu, ini kali pertama perjalanan pelaksanaannya jauh lebih teratur dan berkesan dan Insya-ALLAH mengikut jadual,” katanya.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan memuji rakyat dan pengundi Sabah yang berjaya memilih wakil rakyat mereka secara aman dan damai pada 29 November lalu.

“Bayangkan Sabah dengan suku kaum berbeza, fahaman agama berbeza, berentap dalam pemilihan tegang, tetapi menjadi contoh kepada negara kita.

“Kita saksikan bagaimana segala perbezaan itu dapat dilerai dan ditenangkan dalam masa singkat selepas selesai PRN Sabah baru-baru ini,” ujarnya. - Awani