Pembantu rumah larikan diri dakwa didera majikan

Iklan
Seorang pembantu rumah tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa dera majikannya.

GOMBAK – Seorang pembantu rumah bertindak melarikan diri sebelum meminta pertolongan jiran selepas dipercayai didera majikannya dalam kejadian pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.38 malam daripada mangsa yang berusia lingkungan 22 tahun.

Iklan
Iklan

"Mangsa yang merupakan wanita tempatan itu dilaporkan melarikan diri dari kediaman majikannya sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran berdekatan untuk menerima rawatan perubatan.

"Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis berhubung kejadian penderaan dipercayai dilakukan oleh majikannya yang juga merupakan warga tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Katanya, susulan laporan yang diterima, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Iklan

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil menyalurkannya bagi membantu siasatan.

"Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ikhwanizam Ismail di talian 019-6000468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-6126 2222," katanya.