SELAYANG - Lokasi 'hotspot' pendatang asing tanpa izin (PATI) di Selayang Baru ‘digegar’ menerusi operasi besar-besaran pada malam Sabtu yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor.
Operasi bermula jam 8 malam itu diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pihak berkuasa tempatan.
Amirudin berkata, seramai 843 disyaki PATI termasuk 35 wanita ditahan hasil pemeriksaan 1,116 individu oleh JIM.
"Pecahan yang ditahan ialah 647 warga Myanmar, Nepal (102), Bangladesh (79), Indonesia (15 ) serta India (10).
"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 21 hingga 53 tahun disyaki melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal lebih masa serta pemegang kad yang tidak diiktiraf," katanya dalam sidang media di lokasi serbuan di sini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli; Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dan Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin.
Menurut Amirudin, serbuan dijalankan susulan aduan awam yang resah dengan lambakan warga asing serta aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan berkenaan.
Jelasnya, operasi itu merupakan ingatan tegas kepada semua, termasuk warga tempatan yang menggajikan PATI supaya mematuhi undang-undang.
“Kita juga melaksanakan beberapa operasi bersepadu sebelum ini seperti di Seri Muda, Pasar Borong Selangor dan lokasi lain,” ujarnya.
Berhubung faktor kos sewa yang dikatakan menarik warga asing tinggal di Selayang Baru, Amirudin berkata, ia lebih berpandukan permintaan dan penawaran kerana lokasi berkenaan hanya 20 minit dari Kuala Lumpur.
"Operasi bersepadu juga sering dilaksanakan sebelum ini dan telah memberi kesan positif kepada masyarakat.
“Operasi bersepadu ini akan diteruskan secara kesinambungan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai dan majikan untuk tidak melindungi PATI kerana tindakan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.