Awie bangga dua anak konvo serentak, raih anugerah

Iklan
Awie bersama isteri bersama dua anak, Putri Aleefa (kiri) dan Putri Aleeya (kanan) yang diraikan pada majlis konvokesyen MSU hari ini.

“PENDIDIKAN anak-anak tetap nombor satu.” Itu tegas vokalis tersohor Wings, Datuk Awie yang hadir penuh bangga ke Majlis Konvokesyen Management and Science University (MSU) ke-36, meraikan kejayaan dua puterinya menamatkan pengajian.

Bukan sekadar tamat belajar, malah salah seorang anaknya, Putri Aleefa Antasha, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Fotografi dan Video Kreatif turut dipilih menerima Anugerah Industri selepas memperoleh CGPA 3.78.

Iklan
Iklan

Manakala, Putri Aleeya Antasha, 25, merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Acara.

“Alhamdulillah, syukur. Satu kebanggaan besar untuk saya dan isteri. Walau apa pun jadi dalam hidup atau kerjaya saya, pendidikan anak-anak tetap saya utamakan,” katanya.

Iklan

Menurut Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 57, sejak kecil anak-anaknya dibiasakan membaca dan belajar, malah beliau sentiasa memberi ruang untuk mereka menentukan minat masing-masing.

“Apa mereka mahu belajar, saya cuba sediakan sebaik mungkin. Bila berbincang, saya layan macam kawan. Mereka tanya pandangan, saya beri idea. Bila mereka setuju, mereka mulakan langkah sendiri.

Iklan

“Syukur juga anak-anak saya jenis dengar kata. Yang penting, kemahuan mereka seiring harapan kita,” katanya yang turut berkongsi bahawa anak lelakinya, Putra Ahmad Merah, kini melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Bagi Awie, walaupun dunia hiburan glamor dan penuh pancaroba, pendidikan tetap bekal paling penting.

“Ilmu mematangkan seseorang. Dalam apa bidang pun, pendidikan boleh ubah masa depan,” katanya.

Sementara itu, Aleefa meluahkan rasa teruja kerana dapat membahagiakan kedua ibu bapanya dengan pencapaian akademik tersebut.

“Impian saya nak jadi penerbit filem,” katanya.

Aleeya pula turut berkongsi keterujaan menamatkan pengajian dan merancang menyambung ke peringkat lebih tinggi.

Dengan kejayaan dua puterinya hari ini, jelas bahawa didikan Awie yang lembut tetapi tegas, benar-benar membuahkan hasil.