SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin dan seorang ahli perniagaan yang disiasat berhubung dakwaan rasuah berkaitan usaha sama penternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah akan didakwa Isnin ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Shah Alam.
Iklan
Iklan
"SPRM telah mendapat izin mendakwa kedua-dua suspek berkenaan.
"Ahli Parlimen tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dengan satu pertuduhan iaitu bersubahat menerima rasuah, manakala ahli perniagaan itu pula akan didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 dengan dua pertuduhan iaitu meminta dan menerima rasuah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan SPRM telah menahan ahli Parlimen terbabit Khamis lalu bagi tujuan pertuduhan yang melibatkan satu kes usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri Kedah manakala ahli perniagaan tersebut telah ditangkap pada Mac lalu dan dilepaskan dengan jaminan.
Siasatan yang dijalankan sejak bulan Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
Sehubungan itu, kertas siasatan telah dibuka susulan aduan diterima pada 10 Februari 2025 dan siasatan telah dijalankan dengan 15 orang saksi telah dirakam percakapan.