SKUAD bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara memulakan kempen Sukan SEA Thailand dengan langkah kanan apabila bangkit daripada ketinggalan untuk membenam Laos 4-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Rajamangala pada Sabtu.
Kemenangan bergaya berserta jumlah jaringan besar itu sememangnya ditagih skuad muda negara bagi mencerahkan peluang memburu slot ke pusingan separuh akhir.
Dalam perlawanan tersebut, skuad kendalian Nafuzi Zain tersentak seawal minit keempat apabila Laos terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi serangan balas pantas yang disudahkah oleh Bounphaeng Xaysombath.
Namun, jaringan awal itu tidak mematahkan semangat Harimau Muda yang mula mempamerkan kebangkitan dengan memperkemaskan rentak permainan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila Haykal Danish berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-33 untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad negara tampil lebih garang dan berjaya meledak tiga lagi gol bermula dengan jaringan Haqimi Azim pada minit ke-59 diikuti jaringan pantas Moses Raj dua minit kemudian.
Muhammad Abu Khalil melengkapkan pesta gol negara dengan jaringan keempat pada minit ke-90, sekali gus mengesahkan tiga mata penuh milik Malaysia.
Berdasarkan format kejohanan, hanya juara kumpulan dan satu pasukan naib juara terbaik sahaja layak mara ke peringkat separuh akhir.
Selepas ini, skuad negara akan berdepan pasukan pilihan, Vietnam pada 11 Disember untuk menentukan juara kumpulan.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia memenangi 'ibu segala pingat emas' acara bola sepak Sukan SEA ialah pada edisi 2011 di Jakarta, Indonesia.