KULAI – Seorang lelaki tempatan bersama kekasihnya warga Indonesia serta dua lelaki warga Bangladesh ditahan dalam satu serbuan di Taman Sungai Mas, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, hasil serbuan menemui tiga paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamine dengan anggaran berat 254 gram dan 16 kepingan foil timah disyaki dadah jenis pil ekstasi kira-kira 45 gram.
"Turut ditemui satu paket plastik disyaki serbuk ekstasi kira-kira 1,015 gram dan satu kotak rokok mengandungi satu lipatan kertas berisi cebisan daun-daun kering disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat 7.6 gram. Kesemuanya bernilai RM62,098.
“Dua kereta jenis Mazda 6 dan Nissan Teana turut disita dan menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM122,098,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujar beliau, kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 27 hingga 40 tahun.
"Siasatan mendapati suspek lelaki warga tempatan berusia 40 tahun mempunyai dua rekod jenayah lampau," katanya.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati dua lagi suspek lelaki warga Bangladesh positif dadah jenis THC manakala dua lagi suspek didapati negatif.
“Mahkamah Majistret Kulai telah membenarkan permohonan reman terhadap kesemua suspek selama tujuh hari mulai Jumaat hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali sebatan.
“Polis turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyalah gunaan dadah agar aktiviti tersebut dibanteras habis-habisan,” katanya.