KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori berdepan tindakan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas ditahan di Jalan Kepong di sini kerana lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 41 tahun itu ditahan menerusi Op Khas Kenderaan Perdagangan pada Jumaat.
Menurutnya, pemeriksaan telah mengesan kesalahan tidak mempunyai insurans selain lesen kenderaan motor (LKM), Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Barangan (GDL) yang tamat tempoh.
"Pemeriksaan lanjut juga mendapati perakuan pemeriksaan berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) juga tamat tempoh.
"Pemandu itu memberitahu memandu lori itu atas arahan majikan. Jadi, kita akan memangil majikannya bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, lori terbabit telah disita dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tegas Hamidi, pihaknya sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dalam memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan.
“Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan,” ujarnya.