Serdang datang Shah Alam untuk menang

Iklan
SK Serdang akan berdepan SK Ulu Yam Bahru dalam final Piala Raja Muda Selangor B-12 di Padang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) hari ini. Foto: Media Piala Raja Muda Selangor B-12

PENGURUS skuad bola sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Serdang, Muhamad Amir Fiqrie Mazlan menegaskan ketenangan, disiplin dan kawalan permainan menjadi asas utama taktikal pasukannya menjelang final Piala Raja Muda Selangor Bawah 12 Tahun (B-12) menentang SK Ulu Yam Bharu di Padang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, skuad kendalian Mohammad Ali itu juga diingatkan supaya bermain secara teratur dari bahagian pertahanan dan mengekalkan penguasaan bola dengan sokongan rapat sesama rakan sepasukan bagi mengurangkan risiko melakukan kesilapan mudah berdepan lawan dari Batang Kali berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemain turut diberi penekanan terhadap komunikasi serta kepatuhan kepada struktur permainan bagi memastikan mereka tidak terperangkap dalam tekanan suasana aksi final.

Muhammad Amir Fiqrie menambah bahawa fokus utama ialah membantu pemain beraksi dengan yakin, tenang dan berdisiplin sepanjang 60 minit perlawanan.

Iklan

Mengulas persiapan pasukan, Muhammad Amir Fiqrie berpandangan kekuatan mental dan disiplin menjadi faktor pemisah antara kemenangan dan kegagalan pada peringkat tertinggi saingan B-12 berkenaan.

Katanya, pemain yang mampu mengawal emosi, mengekalkan fokus dan mematuhi tugasan masing-masing akan memiliki kelebihan besar dalam perlawanan akhir.

Iklan

Beliau menjelaskan bahawa selain persediaan taktikal, pasukan juga melalui proses pembinaan keyakinan diri, pendedahan kepada tekanan perlawanan besar serta latihan fizikal berperingkat bagi memastikan kecergasan pemain berada pada tahap optimum.

Jelasnya, gabungan mental yang kuat, disiplin tinggi dan kesatuan pasukan menjadi sandaran SK Serdang untuk membawa pulang trofi ke Serdang.

SK Serdang sebelum itu mara ke final selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas finalis musim lalu, SK Seri Pristana dari Sungai Buloh. Mereka kemudian melepasi cabaran getir SK TUDM Subang apabila menang 4-3 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Sementara itu, SK Ulu Yam Bharu juga mempamerkan prestasi konsisten apabila menewaskan SK Sungai Lang, Banting 1-0 dalam separuh akhir di Padang SK Putra Heights 2, selepas terlebih dahulu mengejutkan juara bertahan SK Seksyen 20, Shah Alam melalui kemenangan penalti 4-1 apabila aksi berakhir tanpa sebarang jaringan.

Edisi kali ini menyaksikan penyertaan 32 pasukan sekolah rendah dari seluruh Selangor, yang dibahagikan kepada lapan kumpulan sebelum melalui peringkat 16 terbaik, suku akhir, separuh akhir dan final.

Kejohanan ini menerima tajaan utama Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad dengan Sinar Harian sebagai media rasmi.

Pasukan juara bakal membawa pulang RM5,000, diikuti RM4,000 untuk naib juara, RM3,000 untuk tempat ketiga dan RM2,000 untuk tempat keempat, masing-masing disertakan trofi serta pingat.