SHAH ALAM – Sebanyak enam kes penemuan bangkai mamalia marin membabitkan spesies ikan paus dan lumba-lumba direkodkan di perairan negara sepanjang tahun ini, menurut data Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Kes pertama melibatkan bangkai paus spesies Bryde yang dijumpai pada 24 Februari di Pantai Sungai Miang, Pekan, Pahang.
Kes kedua pula direkodkan pada 11 April di Teluk Bahang, Pulau Pinang membabitkan lumba-lumba Irrawaddy.
Pada 21 Jun, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menemukan bangkai lumba-lumba Irrawaddy yang dipercayai terjerat pukat di perairan Kuala Kedah.
Kes keempat pada 18 Julai melibatkan penemuan bangkai lumba-lumba Porpoise Ambu di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.
Seterusnya, dua kes terakhir direkodkan pada 15 dan 26 November masing-masing membabitkan paus Bryde di Langkawi, Kedah serta lumba-lumba Bottlenose di pantai Sabak Bernam, Selangor.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, kelewatan laporan dan ketepatan koordinasi menjadi cabaran utama dalam pengurusan mamalia marin terdampar di negara ini.
Menurutnya, terdapat beberapa kes yang dihadapi iaitu akses ke lokasi kedamparan perlu melalui kawasan geografi yang mencabar seperti kawasan berlumpur, estuari dan pantai terpencil.
"Ini menyukarkan khidmat logistik untuk melaksanakan pemindahan dan nekropsi mengikut prosedur DOF," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pelbagai usaha kesedaran komuniti mengenai mamalia marin dipergiat melalui program pendidikan dan libat urus bersama kerajaan negeri dan rakan strategik.
"Antara inisiatif utama termasuk penganjuran Bengkel Kedamparan di kawasan hotspot mamalia marin seperti Pulau Pinang, Langkawi, Perak dan Terengganu yang menekankan kepentingan pelaporan segera, tatacara intervensi yang selamat dan peranan masyarakat dalam aktiviti konservasi di Malaysia," katanya.
Menurut beliau, DOF turut menjalankan Program Konservasi Bersama Nelayan bagi meningkatkan kefahaman tentang interaksi perikanan, penggunaan gear lebih mesra hidupan marin dan kaedah pelaporan insiden tangkapan tidak sengaja.
Selain itu, katanya, pelajar sekolah dan universiti turut terlibat menerusi aktiviti Ocean Literacy, pameran bergerak, taklimat teknikal serta demonstrasi ketika berlaku insiden mamalia marin terdampar.
Ujarnya, usaha penyebaran maklumat turut dipertingkatkan melalui media sosial rasmi DOF, infografik Institut Penyelidikan Perikanan serta kolaborasi badan bukan kerajaan.
"Ini penting berikutan beberapa kes mamalia marin ini yang dijumpai hidup oleh penyelidik, pelancong, nelayan atau tular di media sosial.
"Terdapat 49 kes penemuan mamalia hidup ini di Kuala Sepetang, Perak; Pulau Pinang; Yan, Kedah serta Pulau Langkawi, Kedah bagi lumba-lumba spesies Irrawaddy, Porpois Ambu serta Indo-pacific Humpback," ujarnya.