SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) maksimum tiga bulan gaji kepada lebih 6,000 penjawat awam di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bayaran itu sebagai penghargaan atas prestasi dan sumbangan mereka dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.
"Bantuan itu akan disalurkan mulai bulan hadapan serta sebelum Aidilfitri pada Mac, manakala sebulan lagi bantuan akan dibayar pada bulan Jun tetapi berdasarkan prestasi setiap penjawat awam.
"Ini kali pertama bonus prestasi itu diperkenalkan, kita berharap semua penjawat awam ada komitmen tinggi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dan penilaian tersebut akan dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya ditemui pemberita selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) 2025 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-16 di sini pada Jumaat.
Sebelum itu, Aminuddin membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 yang berimbang melibatkan anggaran hasil sebanyak RM610 juta dan anggaran belanja pembangunan RM150 juta.
Tema Belanjawan Madani Rakyat Harmoni tersebut menyaksikan hasil bukan cukai dijangka kekal sebagai penyumbang utama dengan anggaran RM372.6 juta, meningkat RM8.03 juta berbanding RM364.57 juta pada tahun ini.
Terimaan Bukan Hasil pula dijangka sedikit menurun kepada RM64.76 juta berbanding RM66.08 juta pada 2025.
Beliau berkata, perbelanjaan mengurus yang diperuntukkan bagi tahun depan berjumlah RM640 juta, merangkumi emolumen sebanyak RM258.31 juta (40.36 peratus), pemberian dan kenaan bayaran tetap RM237.55 juta (37.12 peratus), perkhidmatan dan bekalan RM138.31 juta (21.61 peratus), perolehan aset RM770,000 (0.12 peratus) dan perbelanjaan lain RM5.06 juta (0.79 peratus).
Menurutnya, sebanyak 23 inisiatif baharu diperkenalkan menerusi belanjawan kali ini, manakala 46 inisiatif sedia ada dikekalkan atau ditambah baik, menjadikan keseluruhan 69 inisiatif dengan peruntukan RM112.80 juta.
Ends..