Belanjawan Negeri Sembilan 2026: Bantuan 'one-off' RM1,000 untuk pesakit kanser

Iklan
Aminuddin (dua dari kiri) menunjukkan buku Belanjawan Negeri Sembilan 2026

 

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM1 juta dalam Belanjawan 2026 bagi membantu pesakit kanser di negeri ini melalui pemberian bantuan sekali bayar (one-off) sebanyak RM1,000 kepada mereka yang layak.

Iklan
Iklan

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif yang julung kali diperkenalkan itu merupakan tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap pesakit kanser yang semakin meningkat saban tahun.

“Saya melihat banyak permohonan dan aduan berkaitan pesakit kanser, dan bilangannya terus meningkat setiap tahun.

Iklan

“Penyakit ini sangat kritikal dan melibatkan kos rawatan yang tinggi. Atas sebab itu, kerajaan negeri menyediakan bantuan one-off ini, mungkin boleh digunakan untuk kos pengangkutan serta makan, minum ketika ke hospital mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 di sini, pada Jumaat.

Iklan

Menurut beliau, bantuan tersebut terbuka kepada semua pesakit kanser yang telah disahkan oleh pihak hospital dengan syarat mereka merupakan anak jati Negeri Sembilan.

Aminuddin turut berharap bantuan tersebut dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bantuan rawatan pembedahan AV Fistula bagi pesakit kurang berkemampuan yang memerlukan rawatan hemodialisis dan bantuan perolehan alat implan ortopedik membabitkan peruntukan masing-masing RM0.50 juta.

Aminuddin sebelum itu membentangkan Belanjawan Defisit dengan anggaran hasil sebanyak RM610 juta dan belanjawan mengurus sebanyak RM640 juta.

Belanjawan Negeri Sembilan kali ini memfokuskan sembilan bidang tumpuan iaitu kemampanan ekonomi dengan peruntukan (RM6.70 juta), keterjaminan makanan (RM5.76 juta) dan pendidikan (RM28.81 juta).

Selain itu, pemerkasaan komuniti (RM25.17 juta), kerohanian dan agama dengan (RM16.05 juta) dan pemerkasaan wanita, belia dan sukan RM13.10 juta, pelancongan, adat dan budaya(RM13.05 juta), kelestarian alam sekitar(RM1.83 juta) dan kebajikan dan kesihatan(RM2.34 juta).