Upah lumayan, sindiket seludup, edar dadah tumpas

Iklan
Hussein (tengah) menunjukkan antara dadah yang dirampas.

PETALING JAYA – Upah lumayan mencecah RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap perjalanan digunakan sindiket dadah bagi merekrut pengangkut sebelum kegiatan jenayah bernilai jutaan ringgit itu akhirnya ditumpaskan polis dalam dua serbuan serentak, 1 Disember lalu.

Sindiket yang aktif sejak pertengahan tahun ini dikesan menyusun rangkaian operasi secara terancang, termasuk menempatkan runner, transporter serta sweeper bagi memastikan laluan pergerakan dadah mereka bebas daripada pemantauan pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi berdasarkan risikan itu berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 26 hingga 46 tahun yang dipercayai mempunyai rangkaian dari Perlis hingga ke Lembah Klang.

"Suspek terlibat ini dipercayai diberi upah lumayan bagi membawa masuk dan mengangkut bekalan dadah yang dipercayai diperoleh dari negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada Jumaat.

Iklan

Hussein menunjukkan kenderaan yang digunakan sindiket untuk membawa dadah.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di kawasan parkir bawah tanah sebuah pasar raya di Petaling Jaya yang dijadikan lokasi transaksi utama sindiket berkenaan.

Iklan

"Dalam serbuan itu, lima suspek ditahan bersama sebuah Toyota Alphard dan dua Perodua Myvi.

"Pemeriksaan lanjut menemukan 17 guni berisi 263 bungkusan methamphetamine seberat 273 kilogram serta enam guni mengandungi 98 bungkusan ketamin seberat 101 kilogram," katanya.

Beliau berkata, serbuan kedua di perkarangan stesen minyak Rehat dan Rawat Simpang Pulai, Perak membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki.

"Tiada dadah ditemukan dalam kenderaan suspek keenam namun peranannya sebagai sweeper amat signifikan kerana dia memastikan laluan pergerakan sindiket selamat daripada pemantauan pihak berkuasa," katanya.

Hussein berkata, siasatan awal juga menunjukkan struktur sindiket amat teratur.

"Suspek pertama bertindak sebagai pembantu atau runner, manakala suspek kedua hingga kelima sebagai pengangkut.

"Suspek keenam memainkan peranan sebagai sweeper, melakukan pemeriksaan laluan dan memberi isyarat jika terdapat kehadiran polis," katanya.

Tambahnya, bekalan dadah dibawa masuk dari negara jiran, disimpan dalam guni sebelum dipindahkan ke kenderaan di beberapa lokasi transit bagi mengelakkan dikesan.

"Lima suspek juga mempunyai rekod jenayah dan dadah termasuk salah seorang dengan 12 rekod, manakala dua lagi didapati positif dadah.

"Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 2 hingga 8 Disember untuk siasatan lanjut," katanya.

Hussein berkata, pihaknya turut menyita tiga kenderaan iaitu Nissan Navara, Mitsubishi Pajero dan Proton X70 bernilai RM140,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan RM13.9 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222," katanya.