SHAH ALAM – Isteri Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, sempat berkongsi satu hantaran penuh emosi di Instagram mengenai keperibadian Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Dalam perkongsian tersebut, Zizie Izette, 47, meluahkan mengenai keperibadian murni suaminya yang tidak diketahui ramai.
“Mereka mungkin tidak tahu hatinya, tetapi saya tahu. Selama 16 tahun saya menyaksikan kebaikannya, kemurahan hatinya, dan kasih sayangnya terhadap orang ramai.
“Tolong doakan dia,” katanya dalam hantaran terakhir yang dimuat naik sebelum negara dikejutkan dengan berita pemergian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.
Hantaran tersebut turut disertakan dengan video kenangan Bung Moktar bersama anak-anak mereka.
Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2009.
Allahyarham Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2025, jam 1.46 pagi ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.
Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang berusia 66 tahun itu disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar menerusi hantaran di Facebook.