KOTA KINABALU - [KEMAS KINI] Pelakon Shaheizy Sam mendedahkan bahawa keadaan kesihatan abang iparnya, Ketua UMNO Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sudah terjejas sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Beliau yang lebih mesra disapa Sam berkata, tahap kesihatan Allahyarham merosot dengan ketara pada Khamis sebelum dimaklumkan mengenai pemergian itu oleh kakaknya iaitu isteri Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette A Samad, awal pagi Jumaat.
"Sebelum ini kan kempen PRN, jadi daripada situ memang dah nampak dia dah tak sihatlah. Kami berjumpa hari terakhir sebelum mengundi dan memang saya di sini, memang setiap kali pilihan raya saya akan datang sokong serta bantu kempen.
"Jadi masa hari terakhir berkempen, sebelum mengundi memang nampak dia tak macam dulu, tenaga (kurang) dia nampak penat. Yang mengejutkan fasal semalam bila dengar memang betul-betul teruk," katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Diminta berkongsi mengenai personaliti Allahyarham sepanjang 16 tahun perkahwinan bersama kakaknya, Sam menggambarkan Bung Moktar mempunyai dua sisi berbeza iaitu seorang ahli politik yang lantang di luar, tetapi sangat lembut sebagai ketua keluarga di rumah.
"Apa yang kita nampak dia di parlimen itu bukan dia, macam mana agresif kita nampak dia di parlimen dia ‘pumpang-pumpang’, kalau di rumah dia seorang yang sangat berbeza.
"Sangat berbeza, nak dengar dia tinggi suara, nak dengar dia marah di rumah tak pernah. Saya rasa berbelas tahun ini, apa yang kita nampak dia di parlimen memang lain, berbeza di rumah.
“Ya ALLAH Allahuakbar, lembut dengan anak-anak dia baguslah,” katanya.
Menurut Sam lagi, sebagai ahli keluarga, beliau melihat Allahyarham sebagai abang ipar yang sempurna.
"Itu yang saya cakap kalau kita yang biasa nampak dia di parlimen, mungkin persepsi mereka akan nampak orang ini macam ini, bila bekerja di parlimen, dia sangat orang yang berbeza.
"Bila dia di rumah, dia dengan keluarga sangat lembut. Bila saya ikut dia setiap kali balik kawasan, akan ada orang-orang di kawasan memang nak datang berjumpa dengannya dan dia tak pernah cakap tak boleh, kalau sampai jam 4 pagi pun dia berjumpa dengan orang-orang kawasan," katanya.
Sam turut berkongsi pesanan yang paling diingatinya daripada arwah iaitu mengenai keutamaan menjaga ibu.
"Apa-apa hal pun, dia kata nak berjaya jaga mak. Itu saja yang paling Sam boleh ingat sampai sekarang," katanya.