KOTA KINABALU - Pemergian Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, awal pagi Jumaat membuka ruang penghormatan terakhir daripada pelbagai pemimpin negeri yang menyifatkan kehilangan tokoh politik itu sebagai satu detik yang amat dirasai di Sabah.
Pemimpin-pemimpin utama negeri tampil menzahirkan ucapan takziah, termasuk mengenang jasa serta perjalanan panjang Allahyarham dalam dunia politik.
Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam hantaran di Facebook miliknya menzahirkan rasa dukacita dan penghormatan terakhir, selain mengimbau perjalanan panjang mereka bersama dalam UMNO.
"Innalillahi wa inna ilaihi roji’un. Saya menerima berita sedih bahawa sahabat lama, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin telah kembali ke rahmatullah.
"Kami berkongsi sejarah lama sejak zaman beliau sebagai Ketua Penerangan Pemuda Sabah UMNO (1995) dan saya pula ketika itu sebagai Ketua Pemuda Sabah UMNO. Banyak kenangan dan pengalaman yang kami kongsi sepanjang perjalanan politik yang panjang.
"Saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak serta seluruh keluarga Allahyarham," tulisnya pada Jumaat.
Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah turut mendoakan agar ALLAH SWT mencucuri rahmat kepada roh Allahyarham, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solihin.
"Semoga keluarga yang ditinggalkan dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian ini. Al-Fatihah," katanya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, dalam hantarannya turut menzahirkan rasa sedih atas kehilangan tersebut.
"Dapat berita duka pagi ini dengan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin yang merupakan satu kehilangan besar buat Sabah.
"Salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga ALLAH SWT memberikan ketabahan kepada seluruh keluarga dan melimpahkan rahmat serta keampunan ke atas roh beliau. Al-Fatihah," katanya.
Pemergian pemimpin berusia 66 tahun itu menghembuskan dunia pada jam 1.46 pagi dan disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan, menerusi satu hantaran di Facebook.