PRN Melaka: Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan - Mukhlis Mubin

Iklan
Mukhlis Mubin.

MASJID TANAH - Tiada masalah yang mustahil untuk diselesaikan sekiranya pihak yang diberi amanah mempunyai hala tuju jelas serta komitmen untuk mencari jalan penyelesaian.

Calon PH DUN Kuala Linggi, Mukhlis Mubin berkata, pendekatan melalui sesi libat urus bersama masyarakat penting bagi memahami permasalahan sebenar sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu termasuk isu membabitkan golongan nelayan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.

"Tak ada satu pun masalah dekat dunia ini yang tidak boleh diselesaikan. Cuma ia bergantung kepada mereka yang diamanahkan untuk menyelesaikan tugas itu dan bagaimana cara mereka bekerja.

Iklan

"Pelbagai cara boleh dicari, yang penting hala tuju dan titik akhirnya adalah untuk menyelesaikan masalah," katanya ditemui selepas sesi libat urus bersama komuniti nelayan di Kuala Linggi.

Mengulas lanjut, Kamil berkata, antara isu dibangkitkan nelayan termasuk sempadan kawasan, pendapatan, kemudahan jeti serta pampasan susulan pembangunan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Iklan

Katanya, perkara itu perlu diteliti bagi memastikan golongan nelayan turut mendapat manfaat daripada pembangunan yang dijalankan.

Selain itu, beliau berkata, isu banjir dan sistem perparitan turut menjadi antara keutamaan yang perlu diberi perhatian di Kuala Linggi.

"Isu banjir dan sistem perparitan ini sangat kita tekankan. Insya-ALLAH, sekiranya diberi mandat, perkara itu antara yang akan kita beri keutamaan untuk diselesaikan.

"Kerjasama dan sinergi antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri juga penting kerana lebih banyak perkara dan manfaat dapat dilaksanakan untuk penduduk setempat," katanya.