NEW DELHI - Lebih daripada 200,000 kes penyakit pernafasan akut direkodkan di enam hospital kerajaan di Delhi dari tahun 2022 hingga 2024 sekali gus menunjukkan tahap pencemaran udara di ibu kota India itu semakin membimbangkan.
Maklumat ini didedahkan oleh kerajaan pusat seperti dilaporkan BBC.
Menurut kenyataan kepada Parlimen, lebih 30,000 pesakit terpaksa dirawat di wad sepanjang tempoh tiga tahun tersebut akibat masalah pernafasan.
Situasi itu berlaku ketika Indeks Kualiti Udara (AQI) Delhi mengukur pelbagai jenis pencemar termasuk PM2.5 yang merujuk kepada partikel halus berbahaya dan boleh menjejaskan paru-paru.
Ia berada pada paras lebih 20 kali ganda daripada had yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Peningkatan tahap pencemaran di Delhi tidak berpunca daripada beberapa faktor seperti pelepasan industri, asap kenderaan, penurunan suhu, angin yang lemah serta aktiviti pembakaran sisa tanaman secara bermusim di negeri-negeri berdekatan.
Enam hospital utama di Delhi merekodkan 67,054 kes penyakit pernafasan pada 2022, 69,293 kes pada 2023 dan 68,411 kes pada 2024.
Kementerian Kesihatan India memberitahu parlimen bahawa pencemaran udara merupakan salah satu faktor pencetus penyakit pernafasan.
“Analisis menunjukkan peningkatan tahap pencemaran berkait rapat dengan peningkatan jumlah pesakit yang hadir ke unit kecemasan,” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Prataprao Jadhav dalam jawapan bertulis.- Agensi