'Dia cuma ada RM30' - Mekanik bantu baiki motosikal dinaiki empat beranak rosak tengah malam

Iklan
Mohd Yusof berkongsi situasi berkenaan di TikToknya.

KUALA LUMPUR – Sikap prihatin seorang mekanik yang sanggup keluar membantu sebuah keluarga terkandas akibat kerosakan motosikal pada lewat malam mendapat perhatian ramai selepas kisah itu tular di media sosial.

Kisah tersebut dikongsi oleh pengasas Minyak Hitam Jalanan, Mohd Yusof Mohamed Noor, 29, yang menerima mesej kira-kira jam 1 pagi daripada seorang lelaki memaklumkan rantai motosikalnya putus dan sprocket hadapan hilang.

Iklan
Iklan

Jelasnya, lelaki berkenaan bersama isteri serta dua orang anak kecil sedang dalam perjalanan pulang ke Bukit Jalil ketika kejadian berlaku.

"Saya tidak lagi menerima pelanggan selepas jam 10 malam tetapi selepas dia hantar gambar motosikalnya dan saya tengok ada dua kanak-kanak berada di atas motosikal tersebut, saya mesej semula.

Iklan

"Lelaki itu turut bertanya tentang kos pembaikan dan dimaklumkan anggaran sekitar RM140, namun katanya hanya ada RM30 kerana masih di pertengahan bulan.

“Saya tidak sanggup lihat mereka terkandas pada waktu lewat malam, jadi saya minta dia bayar dulu apa yang ada dan selebihnya boleh dijelaskan kemudian,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.

Iklan

Mohd Yusof kemudian terus ke lokasi yang diberikan walaupun berdepan cabaran apabila maklumat lokasi tidak tepat selain kawasan sekitar yang agak sunyi.

Katanya, tindakannya itu didorong oleh pengalaman hidup sendiri yang pernah berada dalam keadaan kewangan terhad.

Perkongsian tersebut menjadi tular dengan lebih satu juta tontonan, sekali gus menerima pelbagai reaksi positif warga maya yang memuji sikap prihatin beliau.

Menerusi video yang dimuat naik, Mohd Yusof memaklumkan kos pembaikan motosikal itu akhirnya ditanggung sepenuhnya menggunakan dana infak hasil sumbangan orang ramai.