Bung Moktar alami kegagalan buah pinggang, jangkitan paru-paru - Jafry

Iklan
Jafry (kiri) mengesahkan Bung Moktar kini berada dalam keadaan kesihatan yang serius selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

KOTA KINABALU – Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin mengesahkan bahawa Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin kini berada dalam keadaan kesihatan yang serius selepas mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Ketika dihubungi Sinar Harian, beliau menyampaikan permohonan agar orang ramai mendoakan kesembuhan pemimpin berkenaan.

Iklan
Iklan

"Kedua-dua buah pinggang mengalami kegagalan dan paru-paru dijangkiti dengan teruk.

"Mohon doakan agar segala urusan dipermudahkan," katanya ringkas.

Iklan

Terdahulu, Sinar Harian turut melaporkan bahawa Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, dan dilaporkan dalam keadaan kritikal oleh sebuah portal berita tempatan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir ketika dihubungi Sinar Harian, memaklumkan bahawa Bung Moktar hanya memerlukan rawatan dan rehat ketika ini.

Iklan

"Perlu rawatan dan rehat saja, okey," jawabnya ringkas.

Beberapa pimpinan tertinggi Sabah turut menitipkan doa untuk kesembuhan Bung Moktar, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag.

Antaranya termasuk Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; serta beberapa pemimpin lain.