KUALA LUMPUR – Hujan lebat kira-kira selama sejam menyebabkan beberapa jalan serta kawasan di ibu kota dinaiki air pada Khamis.
Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafizan Hassan, berkata Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 6.55 petang.
"Seramai 18 anggota serta pegawai bersama jentera dari dua Balai Bomba dan Penyelamat bergegas ke lokasi kejadian, antaranya di Jalan Sentul Pasar, Taman Bahagia, Jalan Batu Bata, Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh, Kampung Chubadak Dalam, Sentul dan Batu 2 ½, Jalan Ipoh," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohd Hafizan berkata, kawasan yang terlibat tidak melibatkan mangsa atau kerosakan harta benda.
"Kawasan tersebut hanya mengalami limpahan air dan banjir telah surut. Tindakan anggota bomba hanya melibatkan pemantauan di sekitar kawasan terjejas.
"Keadaan cuaca masih hujan renyai-renyai," katanya.
Sementara itu, Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLCCC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memaklumkan bahawa paras air sungai di beberapa kawasan di ibu negara direkodkan melepasi paras bahaya.
Antara laluan yang terkesan ialah Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Sentul.