Rakam wanita dalam tandas, penganggur didenda RM4,000

Iklan
Seorang penganggur, Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di dalam tandas di sebuah pusat beli-belah di sini, 20 November lepas. - Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas seorang penganggur yang merakam wanita di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini, bulan lepas.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Lelaki itu didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 29 tahun dengan merakam menggunakan telefon di dalam tandas di tingkat satu Mayang Mall di sini pada 6.12 petang 20 Nov.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, namun peguam Nurul Husna Zukepeli @ Zulkifli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu denda minimum untuk anak guamnya.

Nurul Husna berkata, lelaki itu tidak bekerja dan bergantung kepada ibunya selain mempunyai masalah kesihatan mental serta pernah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Iklan

Sebelum ini, video berdurasi 26 saat memaparkan seorang lelaki melarikan diri selepas dipercayai tertangkap merakam seorang wanita secara sembunyi di dalam tandas di sebuah pusat beli-belah tular di media sosial. - Bernama