HULU SELANGOR - Seorang penghantar barang melalui detik cemas apabila diugut seorang lelaki dengan sepucuk pistol di persimpangan lampu isyarat berhampiran Perodua Sungai Choh di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 28 tahun berhubung kejadian itu pada jam 2.06 petang.
“Ketika kejadian, mangsa sedang memandu sebuah van dari Bukit Sentosa menuju ke Kuala Lumpur sebelum didatangi seorang lelaki yang mendakwa pengadu cuba melanggarnya.
"Suspek yang tidak berpuas hati kemudian bertindak mengeluarkan satu objek menyerupai sepucuk pistol dan mengugut pengadu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ibrahim berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun di Jalan Cempaka, Bukit Sentosa.
"Kita turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian iaitu sehelai jaket hitam, satu hos pistol warna hitam bertulis ‘Micro’, satu surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata serta peluru dan lain-lain barangan.
“Semakan rekod mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan mempunyai satu rekod lampau membabitkan jenayah," katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Ibrahim turut mengingatkan semua pengawal keselamatan atau mana-mana individu yang diberi kebenaran membawa senjata api supaya mematuhi peraturan ditetapkan.
“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menunjukkan sebarang senjata api kepada orang awam sehingga menimbulkan ketakutan dan kegusaran,” katanya.