KUALA LUMPUR - Unsur yang paling penting dalam menangkis rasuah dan penyelewengan adalah kekuatan dalaman individu.
Timbalan Pengarah (Agama dan Kaunseling), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Azhan Abdul Halim berkata, kekuatan itu tidak hadir serta-merta, ia dibentuk sejak kecil melalui didikan ibu bapa, nilai agama, pendidikan di sekolah dan pengalaman hidup.
“Nilai ini akan menentukan sama ada seseorang mampu bertahan daripada godaan, tekanan dan tawaran tidak bermoral. Dalam PDRM, pelbagai usaha dijalankan melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard seperti program pengukuhan budaya integriti dan kursus khusus untuk pegawai berisiko tinggi.
“Selain itu, terdapat juga modul pemulihan untuk pegawai yang melakukan kesalahan berulang, sokongan spiritual, ceramah agama dan kaunseling serta intervensi isu kesihatan mental yang semakin meningkat,” katanya menerusi sesi Forum Integriti bertajuk Landasan Integriti: Mulia Kerana Maruah, Musnah Kerana Rasuah.
Forum integriti itu diadakan sempena sambutan Hari Integriti dan Antirasuah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) 2025 yang mana Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia - Rasuah Busters, Nurhayati Nordin selaku moderator.
Forum berkenaan juga turut menampilkan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Sri Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin sebagai panel.
Tambah Azhan yang berpengalaman dalam bidang syariah, kepolisan dan siasatan, keutuhan organisasi tidak hanya bergantung pada undang-undang dan sistem tatakelola tetapi juga pada jiwa dan moral anggotanya.
Dalam pada itu, Ameer pula berkongsi, integriti bermula daripada rumah iaitu cara seseorang individu itu dibesarkan.
Ujar beliau, didikan ibu bapa, cara mereka mengajar tentang jujur, bersederhana dan tidak berlebih-lebihan menjadi akar yang membentuk siapa kita hari ini.
“Ketika masyarakat dikuasai budaya mengejar jenama, gaya hidup mewah dan penampilan luaran, sebenarnya nilai bukan terletak pada jenama pakaian, kereta atau beg tangan tetapi pada maruah, akhlak serta harga diri.
“Seseorang boleh memakai pakaian sederhana tetapi tetap tinggi martabatnya jika dia berpegang pada prinsip. Sebaliknya, memakai jenama mahal tidak pernah dapat menutup keburukan moral apabila seseorang memilih jalan salah.
“Didikan yang betul sejak kecil daripada tidak malu hidup sederhana hingga diajar menolak kemewahan palsu menjadi asas membina pegawai yang tegas dan tidak mudah digoda,” katanya.
Menurutnya, realiti yang dihadapi banyak organisasi hari ini seperti tekanan daripada pihak tertentu, arahan luar prosedur, pengaruh ketua serta godaan yang datang bersama kuasa.
Beliau berkongsi pengalaman peribadi, ada kalanya ketua membuat keputusan yang kita sendiri tidak setuju; ada situasi di mana kita diminta ‘meluluskan secara khas’ dan ada masa kita dibayar untuk diam atau bertolak ansur.
“Namun prinsipnya mudah, buat perkara yang benar, walaupun tidak popular. Pegawai yang berani bersuara tetap perlu melakukannya dengan adab dan profesional.
”Menyatakan pendirian bukan bermaksud melawan, tetapi melaksanakan amanah. Kalau betul, cakap betul. Kalau salah, jangan benarkan diri hanyut,” tegasnya.
Shamshun Baharin pula berkongsi, salah satu isu besar dalam masyarakat adalah kecenderungan menyalahkan pihak lain apabila berlaku masalah.
Kata beliau, ramai yang lupa keselamatan digital, integriti dan kewaspadaan adalah tanggungjawab bersama.
“Kerajaan tidak boleh bekerja sendirian, agensi-agensi penguat kuasa juga tidak dapat bergerak secara berkesan tanpa sokongan rakyat dan kesedaran awam.
“Setiap individu perlu menjadi benteng pertama dalam menjaga data peribadi dan membuat semakan sebelum bertindak. Kerjasama rentas agensi dan masyarakat adalah kunci untuk mengurangkan kegiatan scam yang semakin canggih,” katanya.
Ujarnya lagi, isu scam bukan sekadar kelemahan teknikal, ia juga berkaitan ketahanan diri dan kecenderungan manusia untuk percaya kepada janji cepat kaya.
Jelasnya, penipu menggunakan pelbagai taktik seperti meniru identiti institusi kerajaan, menghantar pautan atau fail aplikasi (APK) yang merampas akses telefon, menggunakan foto dan profil palsu, memainkan emosi, simpati dan kepercayaan serta menawarkan keuntungan ‘segera’ yang tidak logik.
“Ramai mangsa terjerat kerana tidak membuat pengesahan terlebih dahulu. Mereka memindahkan wang dahulu, kemudian baru bertanya. Ada juga yang terpedaya dengan scam percintaan, sehingga sanggup meminjam atau menggadai wang simpanan.
“Oleh itu, konsep ‘jangan layan’ perlu dipupuk. Jika sesuatu tawaran kelihatan terlalu sempurna, kemungkinan besar ia tidak benar. Daya tahan diri keupayaan berkata tidak perlu dibangunkan sejak awal,” katanya.
Menurut Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ahmad Nizam Mohamed Amin, syarikat itu telah melengkapkan lima fasa pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) berpiawaian MS ISO 37001:2016, merangkumi fasa kesedaran, pemahaman keperluan standard, penilaian risiko dan dokumentasi, pembangunan dokumentasi ABMS, serta audit dan kajian semula pengurusan.
“KTMB juga telah menjalani audit dalaman pada Mei 2025, diikuti kejayaan memperoleh pensijilan penuh ABMS pada 29 Oktober 2025. Pencapaian ini selaras dengan hala tuju kerajaan yang menggalakkan pelaksanaan ABMS secara berfasa di setiap agensi," katanya.
Sementara itu, Ketua Integriti dan Governans KTMB, Ahmad Syamil Ahmad Shuhaimi berkata, budaya integriti bukan sekadar slogan tetapi amalan yang mesti diterapkan dalam setiap aspek kerja seharian warganya.
Ujarnya, di KTMB, integriti dizahirkan melalui kepatuhan penuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap tugasan, termasuk pengendalian tren, perolehan, dan pengurusan pelanggan.
“Setiap warga kerja digalakkan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah, termasuk menolak sebarang bentuk suapan, habuan atau hadiah daripada vendor mahupun pelanggan.
“Integriti juga turut terjelma melalui kejujuran dalam menguruskan tuntutan, penggunaan aset syarikat dan masa kerja.
“Dalam masa yang sama, warga KTMB dipupuk untuk berani melaporkan salah laku, mengelakkan konflik kepentingan, menjaga kerahsiaan maklumat syarikat dan memastikan semua keputusan operasi atau perolehan dibuat secara telus dan berlandaskan kepentingan organisasi,” katanya.
Tambahnya, KTMB mengharapkan agar setiap warga kerja menjadikan integriti sebagai budaya kerja yang hidup, bukan hanya retorik.
Ahmad Syamil turut menegaskan integriti harus terpancar melalui tindakan harian, kepatuhan kepada dasar serta sokongan berterusan terhadap pelaksanaan ABMS MS ISO 37001:2016.
“Warga KTMB diharap terus berani menolak dan melaporkan sebarang permintaan atau tawaran rasuah serta menggunakan saluran pelaporan dalaman dengan penuh keyakinan dan etika.
“Pembentukan organisasi bebas rasuah, memerlukan komitmen kolektif iaitu keprihatinan dan kesediaan semua pihak untuk mematuhi undang-undang, polisi, SOP serta nilai amanah secara konsisten,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, bagi memastikan tadbir urus KTMB sentiasa berada pada tahap tertinggi, pelbagai usaha penambahbaikan sedang dan akan terus dilaksanakan.
Kata beliau, ia termasuk memperkukuh kawalan dalaman dan proses perolehan selain memperluas jaringan kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain serta agensi kerajaan yang berkait rapat dengan agenda integriti.
“Pendigitalan juga menjadi fokus utama bagi mengurangkan intervensi manual dan meningkatkan ketelusan proses.
“Selain itu, KTMB juga berhasrat memperkukuh lagi pelaksanaan ABMS dalam sektor operasi serta membudayakan integriti secara menyeluruh dan holistik dalam kalangan seluruh warga kerja,” katanya.