SHAH ALAM – Rasuah bukan sekadar jenayah, ia racun sosial yang merampas hak rakyat, memiskinkan negara dan memusnahkan harapan generasi.
Ahli Institut Integriti Malaysia (IIM), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sekiranya Malaysia ingin dihormati, kita mesti kembali kepada asas iaitu mulia kerana maruah, musnah kerana rasuah.
“Marilah kita bersama-sama menjadi penjaga integriti negara. Mulakan dengan diri sendiri. Tegakkan prinsip walaupun sukar.
“Tolak rasuah walaupun orang lain memilih jalan mudah. Kerana negara yang bermaruah hanya boleh dibina oleh rakyat yang bermaruah,” katanya.
Tambah beliau, untuk menjadikan negara benar-benar bebas rasuah, beberapa asas penting mesti diberi perhatian.
Ujarnya, pendidikan integriti harus bermula sejak di bangku sekolah agar generasi muda menolak budaya ‘asal boleh’.
“Ketelusan pentadbiran perlu diperkukuh melalui digitalisasi, audit terbuka dan sistem yang meminimumkan campur tangan manusia.
“Selain itu, perlindungan kepada pemberi maklumat yang berani melapor mesti dipastikan, sementara penguatkuasaan pula perlu tegas dan tanpa pilih kasih.
“Rasuah tidak boleh lagi diberi alasan atau tolak ansur kerana ia adalah pengkhianatan terhadap negara, rakyat dan masa depan anak-anak kita,” kata beliau.
Tegas beliau, rasuah tidak boleh ditumpaskan hanya melalui undang-undang atau badan pencegah rasuah, ia memerlukan perubahan sikap dan kesedaran moral dalam diri setiap rakyat.
Katanya, pegawai kerajaan mesti tegas menolak suapan manakala ahli politik tidak boleh memperdagangkan kuasa.
“Pihak swasta tidak boleh mencari jalan pintas dan rakyat biasa pula tidak harus ‘menghulur’ untuk mempercepatkan urusan. Setiap penolakan rasuah ialah satu kemenangan untuk maruah negara.
“Pemimpin pula, di mana sahaja mereka berada, perlu menunjukkan teladan. Kepimpinan bukan sekadar membuat keputusan, tetapi keberanian menegakkan integriti walaupun tidak popular.
“Pemimpin yang berintegriti membina kepercayaan, manakala pemimpin yang korup memusnahkan masa depan generasi,” katanya.
Menurutnya, rasuah tidak berlaku secara tiba-tiba dan ia bermula sekadar tolong meluluskan atau balasan kecil, tetapi akhirnya merosakkan sistem tadbir urus, merencat pembangunan serta menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap institusi.
Tegasnya, negara yang hebat sekalipun boleh runtuh apabila rasuah menjadi budaya.
“Kita sering bangga dengan kejayaan, namun hakikatnya kejujuranlah yang menjadikan manusia dihormati. Tanpa integriti, pangkat tidak bermakna. Tanpa amanah, kuasa menjadi bahaya.
“Mulia kerana maruah bukan slogan kosong, ia peringatan bahawa harga diri kita ditentukan prinsip yang kita pertahankan, walaupun dalam situasi yang paling sukar,” ujarnya.