KOTA BHARU – Seorang guru agama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dakwaan melakukan amang seksual melalui panggilan video terhadap anak murid darjah lima antara Mac hingga Jun lalu.
Tertuduh, Huzaifah Ismail, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizan Tuan Lah.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, dia didakwa berkomunikasi secara seksual menggunakan telefon bimbit dengan kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun enam bulan di Kubang Kerian, di sini, antara 13 Mac hingga 11 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(1) akta yang sama, serta dibaca bersama Seksyen 27 akta berkenaan.
Jika sabit kesalahan di bawah seksyen ini, pesalah boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun.
Sementara itu, bagi pertuduhan pindaan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas kanak-kanak itu di lokasi sama pada jam 4.18 pagi, 21 Jun lalu dan jam 6 petang, 26 Jun lalu.
Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan di bawah seksyen ini, pesalah boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan, manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Naqib Mohamad Noor.
Pada prosiding itu, Siti Hajar tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh merupakan guru mengaji al-Quran kepada mangsa.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Disember ini.