GAZA - Puluhan pasangan Palestin melangsungkan perkahwinan beramai-ramai di Hamad City, Khan Younis pada Selasa, memberi sinar baharu kepada penduduk Gaza selepas dua tahun peperangan yang meragut nyawa dan memusnahkan kehidupan.
Seramai 54 pasangan berjalan seiring melalui deretan bangunan runtuh di selatan Gaza, termasuk pasangan Eman Hassan Lawwa dan Hikmat Lawwa, kedua-duanya berusia 27 tahun.
Mereka mengenakan pakaian tradisional Palestin dan sut hitam seperti pasangan lain, simbol kesatuan dan keteguhan dalam masa yang sukar.
“Walaupun semua yang berlaku, kami mahu memulakan hidup baru. Semoga ini pengakhiran perang,” kata Hikmat.
Majlis itu dijayakan dengan pembiayaan Al Fares Al Shahim, sebuah inisiatif bantuan kemanusiaan disokong Emiriah Arab Bersatu. Pasangan turut menerima sedikit bantuan kewangan dan keperluan asas bagi memulakan kehidupan berumah tangga.
Namun kegembiraan itu berlangsung dalam suasana serba kekurangan. Hampir keseluruhan dua juta penduduk Gaza, termasuk pasangan tersebut, telah kehilangan tempat tinggal dan hidup dalam keadaan darurat akibat kemusnahan besar-besaran, kekurangan makanan serta gangguan bantuan.
“Kami juga mahu bahagia seperti orang lain. Tapi hari ini, impian saya hanyalah mencari sebuah khemah untuk didiami,” kata Hikmat.
Bagi Eman, kegembiraan hari besar itu diiringi kesedihan. Beliau kehilangan ibu bapa serta beberapa ahli keluarga dalam peperangan.
“Sukar untuk merasa bahagia selepas kehilangan begitu banyak. Insya-ALLAH, kami akan bina semula sedikit demi sedikit, batu demi batu,” katanya sambil menahan tangis.
Majlis perkahwinan yang merupakan tradisi penting dalam budaya Palestin kini menjadi simbol ketabahan dan kesinambungan hidup.
Menurut pakar sosiologi Randa Serhan, setiap perkahwinan baharu membawa harapan bahawa memori dan warisan Palestin akan terus hidup.
Konvoi kereta membawa pengantin melalui sisa bangunan runtuh, dengan pasangan melambai bendera Palestin sementara keluarga menari mengiringi muzik yang bergema di tengah kawasan yang musnah.
Di sebalik kesengsaraan, majlis sederhana ini menghadirkan detik yang jarang berlaku, secebis harapan di tengah badai peperangan.-Agensi