AMPANG – Seorang suri rumah yang menumpangkan wanita warga Myanmar di rumahnya menanggung kerugian apabila individu itu dipercayai melarikan barangan berharga termasuk wang tunai RM4,500 di Taman Permai Jaya di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Khairul Anuar Khalid, berkata, mangsa berusia 29 tahun menerima panggilan daripada anak perempuannya yang memaklumkan telefon bimbit, beg bagasi berisi pakaian dan wang tunai hilang disyaki dicuri oleh suspek.
"Mangsa mengenali suspek berusia 18 tahun sejak tiga bulan lalu dan telah menumpangkannya di rumah kerana wanita itu tiada tempat tinggal.
"Kejadian berlaku ketika mangsa tiada di rumah, suspek memasuki bilik tidur utama dan melarikan barang tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Khairul Anuar berkata, pihaknya telah menahan suspek di Taman Nirwana di sini pada Isnin.
"Kita turut merampas telefon bimbit, pakaian serta beg bagasi bagi membantu siasatan.
"Suspek direman empat hari bermula Selasa hingga Jumaat. Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.