SEPANG - Polis sedang menjalankan siasatan ke atas bahan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan video lain yang diterima daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan serbuan yang dijalankan agensi itu di kediaman ahli perniagaan, Albert Tei.
Ini susulan laporan polis yang dibuat SPRM bagi menafikan dakwaan pegawainya mengacu senjata ke arah Albert Tei ketika penahanan dibuat ke atas lelaki itu pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, setakat ini 11 individu telah diambil keterangan.
"Mereka ini terdiri daripada pegawai SPRM dan isteri ahli perniagaan terbabit.
"Kes masih dalam siasatan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Media sebelum itu melaporkan, pegawai SPRM yang menjalankan serbuan ke kediaman ahli perniagaan Albert Tei dilengkapi kamera badan termasuk alat rakaman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, semua tindakan dijalankan mengikut prosedur undang-undang.
Azam berkata, laporan dibuat supaya pihak polis dapat menyiasat dakwaan itu supaya tiada pihak yang berniat jahat menyebarkan berita tidak sahih berkaitan SPRM.