PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan, pelantikan semula sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua adalah sebagai tanggungjawab untuknya meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara.
Bercakap kepada pemberita, Zambry turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melanjutkan tugas beliau sebagai senator sehingga 2 Disember 2028.
"Saya menganggap ini satu tanggungjawab yang perlu diteruskan," katanya pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas upacara angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua di hadapan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.
Pelantikan semula itu sekali gus menokhtahkan tanda tanya dan spekulasi mengenai kedudukannya bersama dua yang lain selepas perkhidmatan penggal pertama tamat pada Selasa.
Selain Zambry, turut mengangkat sumpah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Dalam pada itu, Zambry turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencalonkan namanya untuk meneruskan tugas sebagai anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan.
"Portfolio? Setakat ini masih sama," ujar beliau.
Sementara itu, dalam kenyataan Anwar memaklumkan, senarai Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan Madani akan diputuskan kelak selepas proses pertimbangan yang cermat, berhemah dan benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara.
Setakat ini, terdapat tiga kekosongan dalam Kabinet iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRESS) dan Kementerian Ekonomi.