Krisis senyap kehamilan remaja

Iklan
Kehamilan remaja bukan hanya isu moral atau peribadi, tetapi cabaran sosial nasional yang memerlukan perhatian serius. Foto hiasan

ISU kehamilan remaja kembali mencetuskan kebimbangan nasional selepas pendedahan data terbaharu di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, fenomena tersebut tidak boleh dilihat hanya melalui lensa moral sebaliknya perlu difahami sebagai petunjuk kepada kelemahan rangka sokongan sosial, kekurangan akses maklumat sahih serta pendidikan kesihatan reproduktif yang tidak dilaksanakan secara menyeluruh.

Iklan
Iklan

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan betapa mendesaknya situasi itu apabila sejumlah 16,951 remaja hamil tidak berkahwin direkodkan di fasiliti kerajaan dari tahun 2020 hingga 2024.

Pada masa sama, data KPWKM bagi tahun 2024 pula merekodkan sebanyak 2,752 kes kehamilan bawah 18 tahun manakala 6,144 kes dilaporkan antara 2023 hingga Mac 2025.

Iklan

Angka-angka itu bukan sahaja bayangan krisis yang semakin menebal, malah menggambarkan isu struktural yang memerlukan perhatian dasar secara menyeluruh.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Bayt al-Rahmah, Nor Azura Kamarudin Sohami dalam responsnya menjelaskan, statistik tersebut bukan sekadar rekod klinikal sebaliknya gambaran jelas mengenai tekanan yang dihadapi institusi keluarga, pendidikan nilai dan keselamatan sosial remaja.

Iklan

Menurutnya, kecenderungan masyarakat menyalahkan remaja semata-mata tidak membantu kerana masalah ini lahir daripada kurangnya pendidikan seimbang, pendedahan digital tanpa kawalan serta ketiadaan sokongan emosi yang konsisten dalam keluarga.

Jurang pendidikan seksual yang berkesan sama ada melalui sistem persekolahan atau komunikasi dalam keluarga turut menjadi faktor utama.

Ramai remaja tidak memperoleh pengetahuan asas berkaitan keselamatan diri, risiko kesihatan atau langkah pencegahan yang boleh melindungi mereka daripada situasi berisiko.

Faktor sosioekonomi seperti kemiskinan, kurangnya perkhidmatan kesihatan reproduktif di kawasan luar bandar serta kelemahan sistem perlindungan kanak-kanak turut menambah kerentanan.

Dalam era digital, kandungan tidak sesuai yang mudah diakses tanpa pengawasan pula mempercepatkan interaksi sosial yang tidak berpandu, menjadikan remaja lebih terdedah kepada pengaruh luar yang sukar difahami.

Peranan ibu bapa dalam memantau perkembangan anak, memahami perubahan tingkah laku dan memantau penggunaan media sosial amat penting.

Pada masa sama, kelemahan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perlindungan kanak-kanak serta ketidaksamarataan akses perkhidmatan kesihatan menjadikan isu ini lebih kompleks.

Pendekatan holistik

Justeru penyelesaian memerlukan pendekatan holistik yang menggabungkan pendidikan, pencegahan, perlindungan dan sokongan psikososial.

Pendidikan kesihatan seksual berasaskan bukti, disesuaikan mengikut umur dan disampaikan secara selamat perlu dijadikan aspek teras.

Intervensi awal di sekolah, pusat komuniti dan platform digital yang selamat mampu menjadi strategi kos efektif. namun yang paling kritikal ialah pendekatan tanpa penghakiman supaya remaja berasa selamat untuk mendapatkan bantuan.

Dengan pendekatan holistik, berasaskan bukti dan disokong oleh seluruh ekosistem masyarakat, negara bukan sahaja berupaya mengurangkan risiko kehamilan remaja malah mampu membina persekitaran lebih sihat untuk golongan muda.

Kejayaan menangani isu ini akhirnya akan menentukan bagaimana Malaysia melindungi dan membentuk masa depan remaja.

*Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian