Pharmaniaga fokus biofarmaseutikal
Iklan
Sebanyak 191 produk ubat generik halal Pharmaniaga telah diiktiraf Halal Malaysia dan kini dibekalkan secara meluas.
KRISIS Covid-19 yang melanda negara beberapa tahun lalu menyaksikan Pharmaniaga diuji episod paling mencabar sepanjang operasinya apabila jatuh ke status Practice Note (PN17) akibat lebihan stok vaksin Covid-19 yang tidak terjual.
Titik hitam itu menyebabkan kewangan syarikat terjejas, keyakinan pelabur teruji dan Pharmaniaga perlu bekerja keras untuk mengembalikan kepercayaan pasaran.
Iklan
Iklan
Namun umpama Phoenix yang bangkit dari abu, Pharmaniaga kini berada di landasan positif untuk keluar daripada status PN17.
Prestasi kewangan syarikat kini terus meningkat dan Pharmaniaga dijangka keluar daripada status PN17 pada suku pertama tahun 2026, sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh Bursa Malaysia.
Iklan
Tidak dinafikan, pengalaman lebih 30 tahun selaku rakan strategik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan lebih 2,000 fasiliti kesihatan kerajaan termasuk hospital, klinik kesihatan dan klinik desa mendapat bekalan ubat selain peralatan perubatan mencukupi menjadikan Pharmaniaga tulang belakang logistik serta pembekalan ubat negara.
Melalui proses perolehan dan pembekalan ubat, logistik dan pengedaran, penyimpanan, keselamatan dan jaminan kualiti, Pharmaniaga memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat akses kepada ubat yang selamat, berkualiti serta tepat pada masanya.
Iklan
Kesemua aktiviti tersebut berlaku di belakang tabir tanpa pengetahuan kebanyakan orang awam.
Ibu pejabat Pharmaniaga di Shah Alam.
Berkongsi perkembangan terkini dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkifli Jafar berkata, syarikat kini menumpukan perhatian terhadap segmen berpotensi tinggi biofarmaseutikal yang melibatkan pembuatan insulin dan vaksin.
Datuk Zulkifli Jafar
Jelas Zulkifli, fokus tersebut bukan sahaja bertujuan menyokong keterjaminan ubat negara tetapi turut membuka peluang baharu untuk Pharmaniaga berkembang di pasaran antarabangsa.
Menurut beliau, antara segmen utama yang sedang diteroka termasuk produk biologik dan biosimilar yang dilihat sebagai masa depan industri farmaseutikal.
“Pharmaniaga sedang memperkukuh usaha dalam pembuatan produk biofarmaseutikal seperti insulin dan rawatan untuk penyakit kronik.
“Melalui pelaburan dalam fasiliti pembuatan vaksin tempatan pula, Pharmaniaga berperanan menyokong agenda negara untuk mengurangkan pergantungan terhadap import serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi krisis kesihatan masa depan,” katanya.
Ujarnya, Malaysia masih mempunyai tahap kebergantungan tinggi terhadap negara luar khususnya bagi ubat-ubatan inovator untuk rawatan penyakit kritikal.
“Namun, Pharmaniaga mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan kebergantungan ini dengan memperkukuh bekalan ubat, insulin dan vaksin yang dihasilkan secara tempatan,” katanya.
Beberapa inisiatif utama yang dilaksanakan termasuk pengukuhan pembuatan ubat generik tempatan yang mana Pharmaniaga telah menghasilkan ratusan produk ubat generik di kilang tempatan bagi memenuhi keperluan hospital dan klinik kerajaan.
“Usaha ini memastikan rakyat mendapat akses kepada ubat pada harga yang berpatutan tanpa terlalu bergantung kepada import.
Fasiliti pengeluaran vaksin dan insulin tempatan Pharmaniaga yang dilancarkan tahun lalu, kini berada dalam fasa pemindahan teknologi dan proses kelulusan pihak
“Berikutnya, adalah pengeluaran insulin buatan tempatan. Insulin merupakan salah satu ubat kritikal untuk pesakit diabetes di Malaysia.
“Pharmaniaga kini mempercepatkan pengeluaran insulin halal buatan tempatan, yang bukan sahaja menyokong keterjaminan ubat negara, malah menjadikan Malaysia antara peneraju di rantau ini,” katanya.
Untuk rekod, Pharmaniaga mempunyai empat kilang pengeluaran ubat-ubatan yang bertempat di Bangi, Puchong, Seri Iskandar dan Sungai Petani.
Pengalaman ketika pandemik Covid-19 juga membuktikan kepentingan memiliki fasiliti pembuatan vaksin sendiri.
Justeru, tahun lalu Pharmaniaga sudah pun menyiapkan fasiliti untuk menghasilkan vaksin dan insulin tempatan yang kini berada di fasa pemindahan teknologi pembuatan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak pengawal selia kesihatan.
Ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang membantu keterjaminan bekalan ubat dan vaksin negara.
Ubat bersih, selamat dan patuh syariah
Antara kejayaan terbesar Pharmaniaga yang membanggakan setakat ini adalah menjadi peneraju industri farmaseutikal halal negara.
“Kami telah berjaya menghasilkan sebanyak 191 produk ubat generik halal yang mendapat pensijilan Halal Malaysia dan kini dibekalkan secara meluas terutamanya kepada hospital kerajaan.
“Ini memberi keyakinan bahawa ubat-ubatan yang digunakan oleh pesakit adalah bersih, selamat dan menepati syariah.
“Kami juga telah melangkah ke hadapan dengan usaha mendapatkan pensijilan halal untuk insulin dan vaksin yang akan kami keluarkan melalui kerjasama strategik dengan rakan teknologi antarabangsa,” katanya.
Walaupun bidang ini diakui mencabar dan memerlukan kajian lebih mendalam untuk mendapatkan pensijilan halal bagi produk insulin dan vaksin, namun ia penting kerana terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.
“Pharmaniaga telah menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman (JKHD), melaksanakan Halal Risk Management Plan, audit halal dalaman dan melatih eksekutif halal yang kompeten selaras dengan kehendak Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM 2020), Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS 2020) serta MS 2424:2019 Halal Pharmaceuticals – General Requirements.
“Semua ini bagi memastikan bahawa sistem jaminan halal kami bukan sahaja memenuhi syarat minimum, malah menjadi model rujukan untuk industri farmaseutikal halal di peringkat Malaysia dan global,” katanya.
Menurut Zulkifli, farmaseutikal halal bukan sekadar bebas daripada bahan terlarang seperti derivatif daripada bahan yang tidak halal, tetapi ia juga merangkumi aspek kebersihan, keselamatan, keberkesanan dan integriti rantaian bekalan ubat.
“Setiap bahan mentah yang digunakan mestilah disahkan halal, proses pengilangan wajib dikawal melalui titik kawalan halal dan kebolehkesanan produk dijalankan bagi memastikan produk tersebut memenuhi keperluan halal.
“Dengan itu, pengguna dalam kalangan umat Islam terutamanya boleh menggunakan ubat tanpa sebarang keraguan dari segi syariah mahupun keselamatan kesihatan,” katanya.
Pencapaian luar biasa
Dalam pada itu, syarikat dengan lebih 2,000 pekerja seluruh negara itu juga merupakan penerima Global Halal Excellence Award (GHEA) 2020-Excellence in Pharmaceutical yang mengiktiraf organisasi dengan prestasi cemerlang dan menyumbang kepada pertumbuhan Ekonomi Halal Dunia.
Ia turut menerima Halal Pharmaceutical Excellence Award daripada Halal Development Corporation (HDC) bagi sumbangan dan pencapaian luar biasa dalam pembangunan industri halal selain menjadi contoh teladan yang boleh memberi inspirasi.
Menyentuh tentang jejak bisnes, Pharmaniaga yang memegang konsesi logistik dan pengedaran ubat-ubatan bagi KKM turut mempunyai kehadiran kukuh di negara jiran, Indonesia.
Pharmaniaga melalui anak-anak syarikatnya PT Millennium Pharmacon International Tbk (PT MPI) menguruskan logistik dan pengedaran ubat-ubatan sementara PT Errita Pharma terlibat dalam pembuatan ubat.
Zulkifli berkata, PT MPI yang tersenarai di Bursa Indonesia mempunyai kira-kira 1,200 kakitangan dan 36 cawangan di seluruh Indonesia, manakala PT Errita Pharma dengan hampir 300 tenaga kerja beroperasi di Bandung.
Rangkaian 14 gudang dan pusat agihan Pharmaniaga menjamin kelancaran bekalan ubat serta peralatan perubatan ke lebih 2,000 fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara.
“Operasi kedua-dua syarikat ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kami di pasaran Indonesia yang besar tetapi membuka peluang lebih luas di ASEAN,” katanya.
Selain Indonesia, produk Pharmaniaga turut dieksport ke beberapa negara ASEAN dan Timur Tengah khususnya dalam kategori ubat generik.
“Dengan status sebagai antara syarikat yang telah menerima pensijilan halal bagi produk farmaseutikal, Pharmaniaga berada pada kedudukan unik untuk pembangunan hab farmaseutikal halal serantau.
“Gabungan keupayaan logistik, pembuatan dan inovasi halal inilah yang meletakkan Pharmaniaga di landasan kukuh untuk menjadi pemain utama dalam industri farmaseutikal serantau serta antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebagai satu-satunya syarikat dengan kepakaran logistik dan pembuatan, Pharmaniaga tidak melupakan aspek kelestarian sebaliknya melihat ia sebagai pemacu nilai perniagaan.
Fokus syarikat adalah inisiatif yang mengurangkan jejak alam sekitar, memperkukuh kesejahteraan komuniti dan meningkatkan tadbir urus sambil menjana kecekapan kos, mengurangkan risiko serta membina kepercayaan jangka panjang.
“Antara lain, Pharmaniaga sedang melaksanakan projek tenaga solar di enam fasiliti utama, termasuk kilang dan gudang, yang dijangka menyumbang kepada pengurangan emisi karbon secara ketara.
“Di samping itu, kilang pembuatan di Bangi, Puchong, Sungai Petani dan Seri Iskandar telah menjalani retrofit sistem HVAC, chiller serta pencahayaan LED untuk meningkatkan kecekapan tenaga,” katanya.
Hamidah Sulaiman, 51, yang juga usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, perjalanan lebih 18 tahun dalam dunia keusahawanan membuktikan industri makanan tradisional masih relevan serta berpotensi besar jika diusahakan secara strategik dan berdisiplin.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/762391/bisnes/daripada-dapur-rumah-ke-kilang-sendiri
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.