TOKYO - Sebuah pesawat terpaksa membuat pusingan U dan mendarat cemas selepas pertengkaran tercetus antara seorang penumpang dan kru kabin.
Kejadian itu berlaku ketika IJ005 milik Spring Airlines berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo menuju ke Shanghai, China pada Isnin.
Penumpang lelaki itu naik angin selepas tidak dibenarkan untuk duduk bersama kekasihnya.
Difahamkan, permintaan itu ditolak selepas lelaki tersebut enggan membayar untuk pertukaran tempat duduk tersebut.
Guang Min Daily melaporkan, pergaduhan mulut antara penumpang itu dan kru kabin berlarutan selama hampir dua jam selepas pesawat berlepas.
"Pembantu penerbangan itu yang tidak lagi dapat menahan sabar bertindak mahu membuat aduan kepada pihak berkuasa hingga memaksa juruterbang berpatah balik.
"Sejurus pesawat mendarat, lelaki itu kemudiannya diiringi pihak berkuasa," jelas laporan itu lagi.
Pertengkaran itu menyebabkan penumpang lain terpaksa bermalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita dan diberi ganti rugi berjumlah 10,000 yuan (RM5,841) seorang oleh Spring Airlines. - Agensi