BUKIT MERTAJAM – Seorang bekas atlet Sukan Olimpik Khas Antarabangsa yang pernah mengharumkan nama Malaysia, Thong Kong Weng, 46, kini terlantar di hospital selepas terlibat dalam kemalangan serius pada 14 September lalu.
Pemenang pingat emas dalam acara bocce pada Sukan Olimpik Khas Antarabangsa 2003 itu mengalami cedera parah dan tidak lagi mampu mengurus diri serta memerlukan RM120,000 bagi rawatan perubatan dan penjagaan jangka panjang di pusat pemulihan.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, kemalangan berlaku ketika Kong Weng memandu bersama dua adik kembarnya untuk bercuti.
Menurutnya, mereka terbabit dalam kemalangan di lebuh raya berhampiran Taiping.
“Dua adiknya hanya mengalami kecederaan ringan namun Kong Weng cedera teruk termasuk paru-paru bocor, koyakan hati, kebocoran usus dan beberapa tulang patah.
“Beliau telah menjalani enam pembedahan, termasuk pembentukan stoma dan trakeostomi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.
Sui Hau berkata, sehingga hari ini Kong Weng masih dirawat di Hospital Taiping di bawah pemantauan rapi.
Katanya, disebabkan beliau tidak mampu bergerak, luka tekanan telah mula muncul, dan stoma serta trakeostomi memerlukan penjagaan rapi setiap hari.
“Selepas keluar hospital, beliau perlu menjalani rawatan pemulihan berterusan dan memerlukan penjagaan penuh sepanjang hari.
“Keluarga tidak mampu memberi penjagaan intensif ini, jadi beliau perlu ditempatkan di pusat penjagaan,” ujarnya.
Tambah beliau, Kong Weng pernah berjasa kepada negara dan kini tiba masanya masyarakat membantu beliau untuk meneruskan hidup dan pulih daripada kecederaan.
Bagi tujuan itu, Sui Hau berkata, pihaknya telah melancarkan kutipan RM120,000 untuk menampung kos rawatan perubatan, penjagaan dan pusat pemulihan Kong Weng.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun One Hope Charity & Welfare melalui Public Bank (Akaun: 3193433435, Kod Swift: PBBEMYKL).