[VIDEO] Nik Nur Damia Batrisyia jadi tumpuan, pandu jengkaut sejak usia 11 tahun

Iklan

KOTA BHARU – Aksi selamba seorang gadis mengemudi jengkaut di Kampung Padang Bemban, Binjai di sini terus mencuri perhatian orang ramai apabila kemahirannya bukan sahaja pada pemanduan, malah turut mahir membaiki jentera berat.

Nik Nur Damia Batrisyia Hairol Amry, 20, berkata, minat mendalam terhadap kenderaan berat seperti jengkaut dan lori bermula sejak kecil apabila sering mengikut bapanya, Hairol Amri Ab Manaf, 48, yang bekerja sebagai pemandu serta menjalankan perniagaan sewaan jentera berat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia mula memegang stereng jengkaut pada usia 11 tahun di bawah pengawasan bapanya sebelum benar-benar mampu mengendalikannya sendiri ketika berusia 13 tahun.

“Waktu umur 13 tahun saya dah mula ‘berebut’ stereng dengan bapa. Lepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya terus fokus untuk bekerja sebagai operator jengkaut,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Iklan

Nik Nur Damia Batrisyia Hairol Amry, 20, berkata, minat mendalam terhadap kenderaan berat seperti jengkaut dan lori bermula sejak kecil

Tambah anak sulung daripada tiga beradik itu, selain pandai memandu jengkaut dan lori, dia juga mahir melakukan kerja-kerja membaiki jentera berat apabila berlaku kerosakan.

Iklan

“Kepandaian membaiki itu saya belajar sendiri hasil daripada selalu melihat bapa bekerja. Dari kecil saya tengok bapa servis, buka alat, pasang balik, lama-lama saya pun tahu buat,” katanya.

Nik Nur Damia Batrisyia mengakui pada awalnya berasa segan kerana ramai pelanggan tidak menyangka seorang gadis mampu mengendalikan jentera berat, namun lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan dan ramai memuji hasil kerjanya.

Menurut dia, kerjanya banyak melibatkan pembersihan parit, kebun dan kawasan lapang.

Ujarnya, dia pernah juga masuk kawasan hutan untuk kerja pembersihan dan ia memang mencabar tetapi menyeronokkan.

Nik Nur Damia Batrisyia sebelum ini tular di TikTok selepas gelagatnya memandu jengkaut menarik perhatian warganet.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Cheng itu yang fasih berbahasa Mandarin turut bercita-cita meneruskan perniagaan bapanya sebagai kerjaya masa hadapan.

Dia bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang dengan kadar sewaan jentera RM550 sehari.

Nik Nur Damia Batrisyia sebelum ini tular di TikTok selepas gelagatnya memandu jengkaut menarik perhatian warganet.

Menurutnya, setiap kali musim tengkujuh, dia akan membantu penduduk kampung dengan memunggah mangsa banjir, meredah air dan membersihkan parit tersumbat.

“Kawasan tempat tinggal saya sering banjir sampai 0.6 meter. Hanya jengkaut boleh masuk, jadi saya gunakan masa terluang untuk bantu orang,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Nik Norazreena Othman, 44, memberitahu dia dan suami tidak pernah menghalang minat anaknya itu.

“Dari kecil dia memang tunjuk minat. Habis SPM, dia sendiri minta hendak kerja bawa jengkaut. Kami sebagai ibu bapa hanya mampu beri sokongan dan tunjuk ajar,” katanya.

Tambah dia, adik lelaki Nik Nur Damia Batrisyia, Nik Muhammad Haris Ammar, 9, juga sudah pandai mengendalikan jengkaut dan lori sejak usia lima tahun.

“Kami tak pernah ajar, jauh sekali suruh. Mereka lihat bapa mereka bekerja, minat itu datang sendiri,” jelasnya.