Tekong darat, laut antara 100 individu dicekup

Iklan
Tangkapan dilakukan dalam tiga operasi berasingan sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam pada Isnin.

SHAH ALAM – Sindiket penyeludupan migran yang bergerak di darat serta laut digempur menerusi tangkapan lebih 100 individu termasuk tekong dalam tiga operasi sekitar Sekinchan dan Sabak Bernam pada Isnin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi bermula seawal jam 2 pagi itu digerakkan Bahagian D3, ATIPSOM Bukit Aman bersama pelbagai agensi penguat kuasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, dalam operasi pertama pada jam 2.40 pagi melibatkan serbuan di sebuah premis kediaman di Jalan JPT, Sekinchan.

"Operasi ini menahan tiga lelaki warga asing berusia 26 hingga 32 tahun serta seorang wanita berusia 24 tahun dipercayai bertindak sebagai penjaga premis.

Iklan

"Turut ditahan 14 lelaki dan 22 wanita warga asing berusia 21 hingga 56 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah selain rampasan melibatkan enam telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Shazeli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Iklan

Menurutnya, operasi kedua sekitar jam 2.15 pagi di kawasan jeti Sekinchan pula membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing berusia 19 tahun yang bertindak sebagai pemandu dan tekong darat.

"Terdapat lima lelaki warga asing berusia 19 hingga 41 tahun berada dalam sebuah van dan kesemuanya didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

"Polis kemudiannya merampas empat telefon bimbit serta wang tunai RM157 dalam serbuan dijalankan ini," katanya.

Katanya, operasi ketiga dijalankan pada jam 2.15 pagi di perairan Sabak Bernam membabitkan rondaan Polis Marin dan Task Force MAPO.

"Dalam operasi ini, sebelum pihaknya memintas sebuah bot kayu jenis pom-pom tanpa nombor pendaftaran sebelum pemeriksaan mendapati seorang lelaki bukan warganegara berusia 43 tahun bertindak sebagai tekong bot, manakala dua lelaki berusia 35 hingga 46 tahun bertindak sebagai pembantu.

"Selain itu turut ditahan, 48 lelaki dan lapan wanita warga asing berusia 16 hingga 56 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tiga telefon bimbit turut dirampas," katanya.

Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

"PDRM komited memerangi aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

"Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu terlibat, orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah ini,” katanya.