TANAH MERAH – Isteri yang ditikam suami sehingga maut di Kampung Paku, Gual Ipoh di sini pada Isnin dipercayai bertindak akibat cemburu.
Perkara tersebut dikongsikan oleh sepupu mangsa, Mastura Abdullah, 40, mengenai Razwan Mat Yazid, 30-an, yang menumpangkannya pulang ke kampung menaiki lori dari Selayang, Selangor.
“Sebelum ini suaminya kerap menghubungi saya mengadu masalah rumah tangga mereka.
“Dia mengesyaki isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain, sedangkan arwah bekerja di sana dan tidak seperti yang dianggap. Dia (isteri) bekerja sebagai tukang masak, mana sempat menjawab panggilan setiap kali dihubungi suami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah pada Isnin.
Menurutnya, suspek berusia 63 tahun itu turut dikatakan pernah berjumpa bomoh untuk ‘menilik’ isterinya.
Sinar Harian melaporkan seorang isteri maut ditikam suaminya dipercayai menggunakan senjata tajam di kediaman mereka di Kampung Paku, Gual Periok.
Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian hadapan dan belakang badan.
Suspek berusia 63 tahun berkenaan menyerah diri di Balai Polis Gual Ipoh kira-kira jam 1 petang.
Suspek dan mangsa sudah 14 tahun berkahwin dan mempunyai dua anak berusia 10 dan 12 tahun.
Mastura merupakan isteri ketiga suspek dan bekerja sebagai tukang masak di Selayang, Selangor.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.