TANAH MERAH - Seorang suami yang dipercayai menikam isterinya sehingga maut sempat mengambil anaknya dari sekolah sebelum menyerahkan diri di Balai Polis Gual Ipoh di sini pada Isnin.
Suspek yang berusia 63 tahun itu dikatakan berbuat demikian menggunakan senjata tajam pada kira-kira jam 10 pagi di ruangan dapur rumah mereka di Kampung Paku, Gual Periok di sini.
Mangsa, Mastura Abdullah, 40, merupakan isteri ketiga suspek dan mempunyai dua anak berusia 10 serta 12 tahun.
Adik mangsa, Mohd Jony, 30, berkata, kakaknya yang bekerja sebagai tukang masak itu baru tiba di kampung jam 8 pagi dari Selayang, Selangor dengan menaiki lori sepupu.
"Kakak sampai di rumah dalam jam 9 pagi, selepas diambil adik bongsu kami di sebuah stesen minyak di Machang.
"Sepupu menurunkan dia di sana. Kemudian adik hantar ke rumah. Kami mengetahui kejadian ini dalam tengah hari, setelah abang ipar menyerahkan diri di balai polis.
"Sebelum itu dia sempat ambil anak lelakinya di sekolah yang terletak kira-kira tiga kilometar dari rumah, dalam jam 12 tengah hari," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tanah Merah di sini pada Isnin.
Menurut Mohd Jony, mereka bergegas ke rumah kakaknya selepas mengetahui kejadian tersebut namun tidak dapat menghampiri jenazah mangsa kerana polis sedang melakukan siasatan.
Ujarnya, anak saudaranya dikatakan merupakan orang pertama yang melihat mangsa namun disebabkan dia adalah orang kurang upaya (OKU), tiada sebarang tindakan diambil.
Dia memberitahu, kakaknya itu sudah lebih setahun bekerja di Selayang dan akan pulang bercuti setiap bulan, manakala suspek pula tidak bekerja.
"Abang ipar dan kakak telah berkahwin selama 14 tahun dan dia (abang ipar) tidak bergaul dengan orang kampung. Jadi sukar untuk kami membuat apa-apa andaian.
"Kami hanya dimaklumkan arwah ditikam di bahagian hadapan dan belakang badannya banyak kali," katanya.
Menurut dia, jenazah Mastura akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paku selepas selesai bedah siasat.
Sinar Harian sebelum itu melaporkan seorang isteri maut ditikam oleh suaminya dipercayai menggunakan senjata tajam di rumah mereka di Gual Ipoh.
Mangsa berusia 40 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.