PASIR MAS - Pembangunan Kompleks Masjid Tahfiz Al-Ayubi bernilai RM13.7 juta yang sedang dibangunkan di Pulau Buih, Kangkong di sini menjadi pemangkin dalam usaha memperkasa pendidikan agama dalam kalangan generasi muda.
Pengerusi Masjid Tahfiz Al-Ayubi, Zulta Ayub Daud berkata, kompleks berkenaan bukan sahaja bakal berfungsi sebagai rumah ibadah, tetapi juga pusat pengajian dan komuniti yang memperkukuh generasi muda dengan asas al-Quran serta nilai syariah.
“Projek ini sudah lama menjadi hasrat penduduk Pulau Buih bagi menyediakan ruang yang tersusun dan kondusif kepada anak-anak mendalami al-Quran, menghafaz dan mengikuti program keagamaan.
“Kompleks bukan hanya masjid, tetapi pusat pembinaan sahsiah terutama anak muda,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurut Zulta, kompleks berkeluasan 3,882 meter persegi itu mampu menampung sehingga 400 pelajar pada satu-satu masa selain menyediakan pelbagai kemudahan aktiviti kepada masyarakat.
Kompleks terbabit menjadi projek pertama seumpamanya di kawasan itu yang dirancang sejak Jun 2006 sebelum kerja pembinaannya dimulakan pada Mac 2023.
“Antara komponen pembinaan termasuk sebuah masjid utama, kuarters, parkir, tandas, padang, dataran, dewan makan serta dewan terbuka.
“Turut akan dilengkapkan kemudahan pendawaian elektrik, sistem pembesar suara dan tempat wuduk,” katanya.
Beliau memberitahu, projek berkenaan bagaimanapun masih memerlukan sokongan masyarakat apabila jumlah dana terkumpul baru mencecah RM2.35 juta.
“Kita mengalu-alukan sokongan orang ramai untuk memastikan kompleks ini dapat disiapkan sepenuhnya demi manfaat generasi muda Pulau Buih dan kawasan sekitar,” katanya.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Masjid Tahfiz Al-Ayubi bernombor 03120010014936 atau melalui talian pengerusi, Zulta Ayub Daud di 012-951 9426.