KUALA LUMPUR – Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim bersama tiga individu lain yang sebelum ini ditahan kerana disyaki cuba mencetuskan rusuhan semasa Majlis Pecah Tanah di Kampung Sungai Baru telah dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keempat-empat mereka pada awalnya ditahan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
"Kita telah beri jaminan semalam, penahanan dibuat di bawah Seksyen 105 kerana kita tidak mahu berlaku apa-apa kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan.
"Kadang-kadang bila sesuatu sudah berlaku barulah mahu bertindak, dan ketika itu mungkin sudah terlambat, jadi lebih baik kita ambil langkah pencegahan," katanya ketika ditemui dalam Program Penyerahan Sumbangan Masih Ada Yang Sayang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pada Isnin.
Katanya, tindakan polis itu diambil selepas pihaknya menerima risikan dan maklumat awal berhubung kemungkinan wujud ancaman terhadap ketenteraman awam sepanjang majlis tersebut berlangsung.
"Apa sahaja program dalam negara sama ada oleh kerajaan, pihak lain atau NGO, keselamatan dan ketenteraman awam tetap menjadi keutamaan kami.
"Jika ada apa-apa maklumat yang memberi kesan negatif kepada keselamatan awam, saya tidak akan berkompromi, polis akan ambil tindakan perlu untuk mencegah kejadian tidak diingini," katanya.
Menurutnya, walaupun semua suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis, siasatan lanjut masih diteruskan.
"Kita akan lihat bagaimana siasatan akan dijalankan dan saya akan maklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penahanan empat individu itu dibuat pada jam 8.50 pagi selepas pihak polis menerima maklumat berhubung perhimpunan yang dijadualkan pada jam 8.00 pagi di lokasi sama.
Kesemua suspek ditahan terdiri daripada seorang lelaki Melayu, seorang lelaki India dan dua wanita Melayu berusia antara 39 hingga 47 tahun.
Individu yang terlibat itu juga didakwa memuat naik seruan mengajak orang ramai turun protes di majlis berkenaan melalui laman media sosial TikTok pada 28 November lalu dengan tajuk Majlis Pecah Tanah Kampung Sungai Baru.