INTEGRITI merupakan asas kepada pembentukan masyarakat dan negara yang adil serta sejahtera.
Dalam konteks Malaysia Rahmah, nilai-nilai ini menjadi teras kepada keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat majmuk.
Integriti meliputi kejujuran, kesetiaan terhadap amanah, ketelusan dalam urusan dan keadilan dalam tindakan.
Sebaliknya, rasuah ialah penyakit sosial yang menghakis kepercayaan masyarakat, menindas golongan lemah atau marhaen dan menghalang tercapainya keadilan sosial.
Oleh itu, dalam usaha menuju Malaysia Rahmah, nilai integriti dan usaha membanteras rasuah mesti diperkukuh sebagai langkah penting ke arah kemakmuran serta keamanan.
Islam sangat menekankan prinsip amanah dan keadilan sebagai asas integriti. Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu makan harta antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkannya kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta orang lain dengan cara yang salah sedangkan kamu mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 188)
Sabda Rasulullah SAW: “Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.” (HR Ahmad & Ibnu Majah)
Keadilan sosial adalah prinsip utama dalam Islam yang menjamin keseimbangan hak dan tanggungjawab antara individu serta masyarakat.
Apabila integriti diamalkan secara konsisten, keputusan dan tindakan yang dibuat perlu berasaskan kebenaran dan kejujuran tanpa memihak kepada mana-mana pihak.
Larangan rasuah pula memastikan penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan dalam pembahagian peluang serta sumber ekonomi dapat dielakkan.
Malaysia menghadapi cabaran besar dalam membanteras rasuah. Kes-kes besar seperti skandal 1MDB telah memberi kesan buruk terhadap imej negara di mata dunia.
Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan, kelemahan dalam penguatkuasaan dan ketelusan masih memerlukan penambahbaikan.
Laporan Transparency International (2024) mencatat, Malaysia dengan skor sederhana dalam Indeks Persepsi Rasuah menunjukkan keperluan pembaharuan yang lebih menyeluruh dalam pentadbiran awam.
Cabaran utama dalam membanteras rasuah adalah diskriminasi dalam penguatkuasaan undang-undang.
Tindakan sering diambil terhadap golongan bawahan sahaja manakala golongan elit terlepas daripada hukuman, menimbulkan ketidakadilan dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi.
Selain itu, prejudis politik dan sosial boleh menyebabkan isu rasuah dipolitikkan untuk kepentingan tertentu, bukan sebagai usaha membina masyarakat berintegriti.
Budaya masyarakat yang terlalu permisif terhadap amalan kecil seperti pemberian hadiah juga menghalang pembentukan budaya antirasuah.
Jalan penyelesaian
Pendekatan holistik diperlukan bagi mengatasi cabaran ini:
1. Tadbir urus adil dan telus
- Memperhebat pengawasan sosial dan akauntabiliti dalam semua lapisan pentadbiran berasaskan prinsip hisbah.
2. Pendidikan nilai integriti dan antirasuah
- Memasukkan pendidikan moral sejak daripada awal di peringkat keluarga, sekolah dan masyarakat.
3. Keterlibatan institusi agama
- Masjid dan surau sebagai platform utama menyemai nilai integriti serta menegur amalan rasuah.
4. Penguatkuasaan undang-undang bebas
- Pelaksanaan undang-undang tanpa campur tangan politik dan adil tanpa mengira pangkat.
5. Kerjasama antarabangsa
- Memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menangani rasuah rentas sempadan melalui perkongsian maklumat dan pematuhan konvensyen global.
Integriti dan larangan rasuah adalah kunci kepada keadilan sosial dan kemajuan negara.
Dalam konteks mewujudkan Malaysia Rahmah, nilai ini perlu dijadikan asas pembangunan negara yang harmoni dan sejahtera.
Malaysia mampu menjadi contoh negara berintegriti tinggi dan bebas rasuah.
*Dr Mohd Yusri Ibrahim ialah Ahli Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN)