MELAKA - Satu kejadian lubang benam berukuran kira-kira 10 meter dilaporkan berlaku di Jalan SPA berhampiran laluan menghala ke Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dekat Ayer Keroh lewat malam Sabtu.
Kejadian pada jam 11.10 malam itu berlaku di Jalan Persekutuan FT033, menyebabkan satu lorong kanan sepanjang kira-kira 300 meter terpaksa ditutup kepada kenderaan atas faktor keselamatan.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir Mohamad Salzeli Moktar berkata, laporan awal diterima menunjukkan kawasan terjejas berukuran kira-kira 10 meter panjang dan 5 meter lebar pada permukaan jalan dan penutupan segera dilakukan bagi mengelakkan risiko kepada pengguna.
“Pihak penyelenggara telah mengambil langkah keselamatan awal sebaik sahaja menerima maklumat kejadian tersebut.
“Pemasangan papan tanda amaran dan lencongan jalan telah dibuat selain pemantauan berterusan sedang dijalankan untuk menilai tahap kestabilan kawasan terlibat,” katanya pada Ahad.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati serta mematuhi semua papan tanda keselamatan yang disediakan di lokasi.
Pada Sabtu, tular di media sosial gambar dan video memaparkan lokasi insiden lubang benam berkenaan.
Setakat ini, tiada mangsa atau kenderaan dilaporkan terjejas susulan kejadian itu.
Difahamkan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Alexander Nanta Linggi, dijadualkan mengadakan lawatan turun padang ke lokasi kejadian pada jam 2 petang ini.